fbpx

K2

Gabungan tema moden, klasik tampil timeless

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSEP suai padan atau konsep hiasan gabungan sering menjadi pilihan pemilik kediaman bagi merealisasikan rumah idaman.

Hal ini kerana, gabungan konsep yang sesuai seperti moden dan vintaj misalnya mampu menjadikan rumah tampil memukau dan terus menaikkan serinya.

Bagi pasangan suami isteri, Saidatul Akma Hamik, 36, dan Mohamad Fairol Saliken, 37, gabungan konsep moden dan klasik pada kediaman teres dua tingkat milik mereka di Nilai, Negeri Sembilan menjadikan kediaman itu tampak indah dan tak lapuk dek zaman.

“Jika diikutkan, kediaman ini tidaklah mempunyai konsep tertentu, saya menghiasnya lebih kepada asalkan sedap mata memandang.

“Namun jika dicirikan, mungkin lebih kepada gabungan moden dan klasik yang menjadikan ia nampak ‘timeless’,” katanya.

Pemilihan rona utama seperti putih, hitam, nude dan percikan rona emas menjadikan kediaman pasangan itu tampil segar dan moden.

Malah, saat kaki melangkah masuk ke ruang tamu kediaman yang dihuni pasangan itu selama empat tahun, dekorasi wainscoting pada sudut itu menambah karakter pada ruang kediaman, menyerlahkan lagi estetika moden padanya.

Pemilihan rona lembut untuk sofa menjadikan ruang tamu kediaman tampak lembut dan damai.

Jelas Saidatul, ruangan itu juga merupakan ruang kegemarannya memandangkan dia paling banyak menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak di situ.

“Saya cukup sukakan padanan warna dan perabot pada ruang tamu kerana ia nampak homey dan cukup selesa,” ujarnya.

Meja kopi berbentuk bulat dan berbingkai emas yang diletakkan Saidatul Akma pada ruang itu biarpun ringkas namun tetap mempunyai pesonanya tersendiri.

Sebagai penyeri, sebuah pasu bunga kecil rona putih diletakkan di atasnya bersama dekorasi lain daripada material rotan.

Sofa rona kelabu menyerlahkan sisi moden pada kediaman ini

Menjengah ke ruang makan keluarga, Saidatul Akma memilih rona putih bersih pada meja dan kerusi makan bagi menyerlahkan estetika moden.

Pasangan itu juga turut meletakkan beberapa unit pokok hijau di sekitar ruang sebagai menambah seri.

Malah, sebuah cermin besar berbingkai putih juga turut diletakkan di ruang sama bagi menjadikan ia tampak lebih luas.

Bagi ruang dapur pula, ia dihias ringkas dengan pasangan itu masih mengekalkan rona putih sebagai rona utamanya.

Bagi mengelakkan ruang itu tampak terlalu polos, pasangan itu meletakkan karpet bercorak ringkas bagi menyerlah seri pada ruang dapur.

Tidak lokek berkongsi, Saidatul Akma berkata dia menghabiskan sekitar RM50,000 bagi kos pengubahsuaian dan dekorasi bagi kediaman seluas 218 meter persegi itu.

“Kos tersebut meliputi kerja-kerja pemasangan kabinet dapur, plaster ceiling dan juga pendawaian,” ujarnya.

Saidatul Akma menambah, masih banyak lagi kerja-kerja pengubahsuaian yang masih belum terlaksana terutamanya kerja-kerja pengubahsuaian pada bahagian belakang rumah dan juga pemasangan lantai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI