fbpx

Gaya skaf inspirasi bandar percutian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah individu, skaf dianggap sebagai aksesori pelengkap gaya memandangkan sifatnya yang versatil dan boleh digayakan dalam pelbagai cara.

Selain digayakan untuk tujuan fesyen semata-mata, skaf juga digayakan oleh pelbagai tujuan lain seperti untuk menghangatkan tubuh, melambangkan budaya dan juga simbolik keagamaan.

Mengakui amat meminati kepelbagaian gaya skaf, ikon fesyen dan sosialit terkenal, Ezurin Khyra, 50, mengorak langkah dengan menceburi dunia perniagaan fesyen menerusi pelancaran jenama skafnya sendiri dikenali sebagai E.

Menerusi koleksi sulungnya yang dipanggil E for All, Ezurin menampilkan rekaan skaf yang diinspirasikan daripada 10 buah lokasi percutian yang begitu dekat di hatinya.

“Sebagai koleksi permulaan, saya menampilkan 10 rekaan skaf yang diinspirasikan dari 10 lokasi yang pernah saya lawati iaitu Istanbul, Rio de Janeiro, Bahia, Paris, Milan, Madrid, Jakarta, Kuching, Dubai dan Doha.

Skaf rona-rona ceria ini boleh digayakan dalam pelbagai cara

“Menariknya, skaf-skaf ini bukan sahaja boleh digayakan oleh golongan wanita tetapi boleh juga digayakan oleh lelaki sebagai aksesori pelengkap gaya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, idea untuk menghasilkan skafnya sendiri timbul kerana Ezurin mahu menterjemahkan minatnya sendiri terhadap seni dalam penghasilan rekaan pada skaf tersebut.

“Fesyen merupakan lambang kemegahan bagi mereka yang cintakan seni dan setiap rekaan yang saya gambarkan dalam skaf ini mempunyai nilai eksklusif dan estetikanya yang tersendiri,” ujarnya.

Skaf E didatangkan dalam koleksi rona-rona terang dan menyerlah yang mencerminkan gaya peribadi Ezurin yang bold dan ceria.

Potongan empat segi sama mirip sehelai tudung bawal yang ada pada koleksi skaf E menjadikan skaf itu boleh digayakan dengan pelbagai cara sama ada sebagai tudung bawal klasik, gaya turban yang moden dan ranggi atau pun sebagai aksesori tambahan pada leher.

Ujar Ezurin, dia memilih material kapas memandangkan sifatnya yang kemas dan terletak cantik apabila dililit di kepala.

“Pemilihan fabrik kapas bagi koleksi skaf ini adalah kerana ia lebih mudah digayakan berbanding fabrik lain.

“Sebagai peminat tegar skaf, saya mendapati skaf daripada fabrik yang licin adakalanya sukar digayakan dan kurang terletak berbanding kapas,” katanya.

Berkongsi tentang rekaan yang menjadi kegemarannya, ibu kepada lima orang cahaya mata itu berkata dia secara peribadinya amat menyukai rekaan Dubai yang bercorak ringkas dengan rona hitam dan putih.

Menurutnya, rekaan tersebut cukup dekat di hatinya memandangkan ia juga merupakan skaf yang menjadi pilihan untuk digayakan oleh salah seorang anak lelakinya.

Bercakap tentang harga, biarpun Ezurin terkenal sebagai seorang figura fesyen dengan gaya mewah, dia bagaimanapun meletakkan harga yang cukup berpatutan bagi koleksi sulungnya itu.

“Saya mahukan skaf ini supaya boleh dimiliki oleh semua golongan masyarakat,” ujarnya.

Skaf E dijual pada harga RM29 sehelai dan boleh dibeli menerusi laman web www.eforezurin.com atau menerusi 212 stokis yang berdaftar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI