Penggayaannya juga sering ditampilkan bersama baju sejuk.

Fesyen ‘old money’ perlu digaya ikut kesesuaian tempat, cuaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEDIA sosial ketika ini sedang kembali hangat membincangkan tentang gaya fesyen ‘old money’, yang sebelum ini pernah tular.

Ia susulan tindakan seorang pempengaruh tempatan lelaki memuat naik satu video yang memaparkan dirinya dan beberapa individu lain yang menggayakan fesyen atau penampilan yang dikategorikan sebagai ‘old money’.

Bahkan, dia turut menubuhkan Komuniti Old Money yang kemudiannya berjaya meraih banyak pendaftaran dalam tempoh hanya seminggu.

Menariknya, ‘old money’ pada dasarnya bukanlah merujuk kepada gaya fesyen tertentu, bahkan ia sebenarnya merujuk kepada golongan individu yang mempunyai kekayaan yang diwarisi sejak turun-temurun.

Pakaian dengan potongan longgar, fabrik bermutu tinggi serta padanan warna-warna tanah yang tidak terlalu menonjol adalah apa yang disifatkan sebagai pakaian yang sering digayakan oleh mereka yang memegang status ‘old money’ ini.

Selain itu, melilit baju sejuk pada leher juga cukup sinonim dengan gaya ini sebagai melindungi pemakai daripada cuaca sejuk namun masih kekal tampil chic.

Rona-rona tanah seperti beige, coklat, krim, hijau dan putih dilihat mendominasi ‘old money’.

Antara ciri khas penampilan ‘old money’ juga adalah pakaian dijahit kemas dengan saiz yang betul-betul mengikut ukuran badan. Ini menambah elemen eksklusif dan mahal pada look seseorang.

Ia kemudiannya menjadi ikutan, dan mula tular di aplikasi TikTok sejak beberapa tahun lalu.

Menurut seorang penulis sambilan majalah Vogue dari New Jersey, Amerika Syarikat iaitu Zach Weiss, dia melihat golongan Gen Z cukup obses dengan gaya ‘old money’.

“Ia adalah sesuatu yang menarik apabila melihat generasi muda cukup sukakan gaya ini.

“Generasi baharu ini mempunyai kesedaran tinggi dan gaya ‘old money’ ini umpama satu karakter yang boleh dimainkan oleh seseorang,” katanya.

Golongan selebriti antarabangsa juga antara yang dikaitkan dengan gaya ini dan menjadi rujukan buat mereka yang mahu tampil ala ‘old money’.

Gaya Sofia Richie, yang merupakan anak kepada penyanyi Lionel Richie menjadi ikutan kerana dia dilihat gemar menggayakan busana rona tanah, kasut bertumit rendah dan rambut yang disisir kemas.

Pelakon Bollywood, Saif Ali Khan pula menjadi contoh bagi selebriti lelaki kerana suami kepada pelakon Kareena Kapoor itu dilihat gemar bergaya ringkas selain tidak takut untuk mengulang pakai pakaian yang sama.

Kemeja linen yang digayakan bersama seluar capri dan sneakers ringkas saat bercuti menjadikan Saif nampak classy tanpa perlu bergaya secara berlebihan.

Mengakui tiada salahnya mengikuti gaya ‘old money’ ala Barat, perunding imej bertauliah, Wawa Idris menerusi satu video TikTok bagaimanapun mengingatkan orang ramai untuk bergaya mengikut keadaan dan cuaca.

“Saya menyokong gaya ‘old money’ ini dan saya melihat ramai golongan wanita yang membawakan gaya ini.

“Namun, mungkin ia nampak sedikit pelik apabila pempengaruh yang mewujudkan Komuniti Old Money itu berjalan di tengah cuaca panas, sambil melilit sweater di bahu.

Mungkin itu cara dia untuk mempromosikan gaya hidup tertentu.

“Namun, setiap penggayaan itu haruslah mengikut kesesuaian tempat, cuaca dan sebagainya. Apa pun, saya menyokong jika lelaki mahu tampil kemas, bersih, maskulin dan budiman,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN