PAKAIAN merupakan ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu atau seseorang. Adalah amat penting berpakaian bertujuan sebagai suatu ekspresi gaya tersendiri selain menyampaikan mesej tertentu kepada sesiapa yang melihat.
Namun begitu, walau apapun gaya anda, seharusnya ia nampak bersahaja, tidak keterlaluan dan tidak dibuat-buat.
Paling penting, kita perlu jujur dengan diri sendiri. Kita perlu sentiasa selesa dengan apa yang kita pakai serta gayakan. Pilihlah padanan pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, bukan apa yang dikatakan trendy oleh orang lain.
Oleh itu, kekalkan item yang paling sesuai dengan umur, potongan tubuh badan, imej, personaliti serta gaya kita dengan mengambil kira acara, majlis dan lokasi.
Di sini saya titipkan panduan untuk mempunyai koleksi pakaian dan aksesori yang lengkap bagi pelbagai acara tetapi masih dalam bajet terkawal.
Pakaian asas
Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan mula isikan almari anda dengan pakaian-pakaian asas dan klasik (dari segi potongan dan warna). Tidak perlu tergesa-gesa, cuba mulakan perlahan-lahan sedikit demi sedikit. Pastikan setiap kali anda membeli pakaian baharu, ia padan dengan apa yang ada dalam almari anda, ini adalah untuk mengelak daripada pembaziran. Anda juga perlu bijak, bahagikan pakaian dan perhiasan anda kepada kategori rasmi, santai rapi dan santai. Bermula dari sini, perkembangkanlah isi almari anda.
Keterampilan
Untuk miliki keterampilan hebat tidak memerlukan anda sentiasa bergaya mewah dengan pakaian mahal dan berjenama. Paling penting, anda punyai cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian. Utamakan mutu, pilihan potongan ringkas dan elemen perincian yang berseni dan klasik. Mahal atau murah boleh menjadi sesuatu yang subjektif. Alah membeli menang memakai.
Gayakan
Praktikkan konsep less is more dan jangan overdo & trying too hard. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa. Ia akan nampak amat pelik dan janggal. Cuba jangan membazir dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu; beli hanya beberapa pakaian yang trendy pada setiap musim, dan kemudian suai padan dengan apa yang ada dalam almari pakaian anda.
Suai padan
Pakaian baharu yang disuai padan dengan yang lama secara bijak dan kreatif selalunya menjadikan penampilan kita kelihatan lebih effortless (bersahaja) dan menarik.
Sebelum anda bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori yang baharu, tanya diri sendiri sama ada anda membelinya adakah kerana ia ‘instyle’ atau kerana anda betul-betul memerlukan dan menyukainya. Jika anda membelinya hanya kerana logo atau jenama barangan tersebut, lupakan sahaja niat anda kerana percayalah akhirnya pakaian tersebut hanya akan menjadi hiasan dalam almari anda.
Hamba media
Seperkara lagi, elakkan daripada menjadi hamba media cetak dan elektronik. Jangan tiru tanpa berfikir apa yang kita lihat di televisyen dan majalah. Selebriti dan model selalunya overdo trend untuk menarik perhatian media. Kadangkala gaya yang berlebihan itu selalunya tidak berjaya dalam dunia realiti.
Sinis
Jika kita rasakan semua mata memandang sinis semasa kita gayakan sesuatu trend pakaian atau padanan, berkemungkinan besar ia tidak sesuai dengan kita. Begitu juga dengan trend warna atau rona terang. Elakkan jika anda tidak biasa serta kurang selesa memakainya. Kita boleh mengambil inspirasi untuk lebih bergaya, tetapi cuma perlu diingat ia perlu disesuaikan serta diolah mengikut gaya hidup sendiri dan disesuaikan latar belakang masyarakat setempat.














