BELGRADE – Mayat seorang model glamor warga Russia ditemukan di dalam sebuah beg pakaian selepas mangsa dilaporkan hilang semasa bercuti di Serbia, lapor akhbar The Sun UK.
Lyudmilla Turkova, 28, dilaporkan hilang selama enam hari selepas bertemu rakan-rakannya di sebuah kelab malam di ibu negara Serbia, Belgrade.
Mayat mangsa ditemukan penduduk tempatan selepas mereka menjumpai objek mencurigakan yang dibuang ke dalam terusan Vizelj dan melaporkan penemuan kepada polis.
Polis tidak mendedahkan bagaimana mangsa dibunuh.
Susulan penemuan itu, polis menahan lelaki Turkiye dikenali sebagai K.E di Lapangan Terbang Nikola Tesla Belgrade ketika cuba meninggalkan Serbia kerana disyaki membunuh mangsa.
Pihak berkuasa percaya suspek membunuh Turkova di sebuah pangsapuri yang disewa di kawasan Borca, baru-baru ini.
“Mayat mangsa dihantar ke Institut Perubatan Foresik untuk bedah siasat,” kata polis. – AGENSI














