fbpx

MIGFEST meriah, kumpul kaki glamping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana mendamaikan di lokasi glamping ini mampu menenangkan minda

PENCINTA alam semula jadi lazimnya akan memilih aktiviti perkhemahan atau clamping sebagai idea aktiviti rekreasi ideal, memandangkan aktiviti itu memberi peluang kepada seseorang untuk lebih dekat dengan alam.

Namun, ketika ini, aktiviti ‘glamour camping’ atau lebih dikenali sebagai glamping mulai mendapat perhatian dan sudah pun mengumpul peminatnya yang tersendiri.

Sedikit berbeza berbanding aktiviti perkhemahan tradisional biasa, glamping kini lebih menjadi pilihan, khususnya bagi individu yang lebih mementingkan aspek keselesaan dan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi.

Festival Glamping Malaysia Antrabangsa (MIGFEST) yang berlangsung di The Hooton Retreat, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini menjadi lokasi yang menyatukan kaki glamping dari dalam dan luar negara.

MIGFEST yang julung kali diadakan di negara ini disertai oleh 120 orang peserta termasuk 15 penyertaan dari negara jiran iaitu Thailand dan Singapura.

Menurut penganjurnya, Bryan Gan yang juga pemilik The Hooton Retreat, aktiviti selama tiga hari dua malam itu bertujuan untuk mempromosikan aktiviti glamping yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Objektif pengajuran festival ini adalah supaya pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman glamping bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.

 

“Hal ini kerana selepas pandemik, kami menyedari bahawa terdapat trend peningkatan bagi aktiviti glamping di negara ini, khususnya bagi mereka yang amat sukakan aktiviti outdoor namun pada masa yang sama masih mahukan kemudahan seperti bilik mandi dan penginapan yang selesa, yang mungkin tiada pada aktiviti perkhemahan biasa,” ujarnya.

Gan menambah, biarpun baru pertama kali dianjurkan, dia teruja apabila menerima jumlah penyertaan yang memberangsangkan, khususnya dari pelancong luar yang mahu merasai sendiri pengalaman glamping di negara ini.

Selain menginap di penginapan yang disediakan pihak penganjur, pengunjung yang datang juga boleh membawa khemah sendiri dan menyerlahkan sisi kreatif mereka melalui pertandingan menghias khemah yang dianjurkan pihak MIGFEST.

Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang MIGFEST termasuk flying fox, pertandingan memanah, bengkel membuat kopi, pertandingan menghias khemah dan juga menyaksikan pertunjukan api.

Pengarah Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Zakaria Mohd Nani berkata glamping merupakan aktiviti hujung minggu yang sesuai buat seisi keluarga dan mempunyai potensi besar sebagai salah satu produk pelancongan.

“Kami percaya bahawa aktiviti glamping yang dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai akan semakin berkembang dan seterusnya menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Saya melihat aktiviti glamping secara berkumpulan sebegini sebagai satu bentuk kesedaran yang baik kerana selain lebih meriah, ia juga lebih selamat dengan pelaksanaan aktiviti yang lebih teratur,” katanya yang berharap ia mampu menarik bukan sahaja pelancong domestik tetapi juga pelancong dari luar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI