fbpx
IDZYAN dan keluarganya yang menjadikan rutin perkhemahan hampir setiap minggu akan berkhemah dengan kelengkapan selengkapnya. seperti berada di rumah.

Glamping cara Idzyan, bagaikan ‘angkut’ satu rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA bercakap tentang perkhemahan, pastinya hal melibatkan memacak khemah, tidur menggunakan beg tidur dan segala kelengkapan yang serba ringkas terbayang di minda.

Bagaimanapun semua telahan itu tidak menepati cara berkhemah Idzyan Ismail, 36, yang sanggup susah payah menyiapkan sendiri pelbagai barangan bagi mewujudkan suasana perkhemahan glamor atau popular digelar ‘glamping’.

Masakan tidak, Idzyan rela meluangkan waktu untuk menyusun barangan dan menghias khemah dengan pelbagai dekorasi menarik seperti alas meja, rak simpanan barangan, camping mat, tilam udara bersama selimut bercorak bagi mencantikkan suasana setiap kali pergi berkhemah.

Tanpa perlu mengeluarkan belanja untuk merasai pengalaman glamping di tapak perkhemahan berbayar, Idzyan sebaliknya memilih untuk menyiapkan segalanya sendiri bersama keluarga.

Boleh dikatakan setiap keperluan asas di rumah lengkap dibawa bersama demi memastikan keselesaan seisi keluarga dan mewujudkan suasana glamor.

Beberapa barangan seperti rak pinggan mangkuk, kipas angin, lampu meja, lampu gantung, kerusi khemah selesa, tilam dan bantal udara, bekas simpanan makanan sejuk, bekas air, meja serta kelengkapan memasak lengkap semuanya tersedia.

Disebabkan itu Idzyan menyediakan beg khas bagi memastikan segala kelengkapan tersebut tidak tertinggal bagi mengelakkan ‘mood’ glamping itu hilang.

Khemah yang digunakan juga walaupun besar, namun mudah dipasang untuk digunakan mahupun menyimpan semula kerana bersifat automatik, ringan dan senang dibawa.

Meskipun banyak perlu dibuat, namun dia sudah terbiasa kerana melakukan hal serupa hampir setiap minggu.

“Semua kelengkapan sudah disediakan di dalam ‘beg perkhemahan’ yang hanya tunggu untuk diangkat saja. Peralatan seperti kerusi, meja khemah dan barang-barang lain juga sudah disediakan bersama.

“Kalau untuk memasak, saya memang dari awal lagi sudah senaraikan menu sama ada untuk dua hari satu malam atau tiga hari dua malam.

“Bahan-bahan memasak semua diletakkan dalam plastik ziplock supaya mudah dibawa, tidak lupa dan menjadikan proses memasak lebih cepat,” kongsinya kepada CitaRasa.

Selain gemar melakukan aktiviti perkhemahan, dia juga mengabadikan pengalaman itu dalam video yang dimuat naik ke YouTube di akaun Glampink Adventure.

Sememangnya kebanyakan dekorasinya menggunakan warna kegemarannya iaitu merah jambu.

Berkongsi cerita tentang proses memasak di tapak perkhemahan, Idzyan memberitahu hidangan seperti ikan bakar, ikan masak berlado mahupun tomyam tetap disediakan untuk anak dan suami layaknya seperti rasa di rumah.

Bagi memudahkan proses itu, Idzyan akan memasak pes makanan terlebih dahulu dan menyimpannya di dalam plastik ziplock sebelum dicampurkan dengan bahan mentah apabila tiba di tapak perkhemahan.

“Bukan saja bahan memasak tetapi saya akan kemas beg elektronik, pakaian, kelengkapan tidur, tilam udara, bekas simpanan ais dan bekas penyejuk semua saya siapkan demi keselesaan serta jiwa glamping.

“Selalunya selepas pulang dari perkhemahan, saya akan cas semula barangan elektronik seperti lampu, kipas, pam udara supaya mudah untuk digunakan untuk sesi berikutnya,” katanya.

Bagi membuatkan perkhemahan berasa mewah, Idzyan sering memilih lokasi berhampiran dengan sungai dan panorama alam semula jadi yang memukau.

Sebaiknya dia ingin melihat keindahan rona alam bersama bunyi deruan air sungai sebaik saja bangun tidur dari dalam khemah.

“Matlamat saya melakukan aktiviti ini agar dapat keluar dari rutin harian, kembali kepada alam dan menikmati masa berkualiti bersama keluarga.

“Bagi saya, lokasi berhampiran dengan sungai sangat menarik seperti di Selangor antaranya Kerling, Kalumpang dan Batang Kali.

“Difahamkan terdapat lebih 100 tapak perkhemahan di sekitar Selangor. Jadi kalau boleh, saya ingin terokai semua tapak perkhemahan yang ada,” kata wanita dari Setia Alam, Selangor itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN