KUALA LANGAT – “Dia cuma mahu tahu siapa yang mengambil peralatan kebun, tetapi akhirnya nyawa menjadi taruhan.”
Demikian luahan balu kepada pengusaha kebun, Allahyarham Rusdi Tulus, 49, yang maut dibunuh dipercayai sekumpulan individu dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Ahad lalu.
Nasriza Kairi, 45, berkata, suaminya sempat bersarapan dan berbual dengannya pada pagi hari kejadian sebelum memaklumkan mahu ke kebun untuk mengetahui siapa yang mengambil peralatan miliknya.
Menurutnya, Allahyarham yang sudah lebih sebulan tidak ke kebun kerana menguruskan tuaian projek ladang satelit cili, telah pergi sendirian ke lokasi antara pukul 8 hingga 9 pagi.
“Pada Khamis dan Jumaat lalu dia mendapati peralatan kebunnya sudah tiada. Jadi, pada hari Ahad, dia mahu ke kebun bagi menyiasat siapa yang ambil,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Kelambu di sini semalam.
Ibu kepada enam anak berusia antara empat hingga 25 tahun itu berkata, perubahan ketara pada arwah suaminya adalah sering mengeluh selepas kehilangan peralatan kebun termasuk sabit, galah dan kelengkapan mengusahakan kebun kelapa sawit.
“Arwah cakap fikiran dia rasa berat, hati gementar dan takut. Dia juga kata orang yang mengambil peralatan itu bukan orang biasa-biasa. Sehari sebelum kejadian pun dia beritahu memang ada orang masuk ke kebun, tetapi dia tidak tahu siapa,” ujarnya.
Nasriza berkata, sebelum kejadian, suaminya ada menghubungi anak keempat mereka kira-kira pukul 11 pagi, namun panggilan itu tidak sempat dijawab.
“Kemudian, adik-beradik dan seorang anak pergi mencarinya sekitar pukul 3 petang. Pada awalnya, adik ipar kata arwah mungkin pengsan sebelum anak sulung memaklumkan bapa mereka telah meninggal dunia,” katanya.
Nasriza berkata, berdasarkan laporan forensik menyatakan Allahyarham mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala akibat hentakan senjata tumpul selain kesan kecederaan pada leher dan satu tikaman di dada kiri.
“Memang sangat terkilan. Dia pergi dalam keadaan baik, cuma mahu tahu siapa yang mengambil peralatannya, tetapi akhirnya jadi begini. Saya tidak sangka perkara kecil seperti itu boleh menjadi punca suami dibunuh.
“Saya harap semua penjenayah diberikan hukuman setimpal kerana nyawa menjadi taruhan. Kami memang tidak boleh terima apa yang berlaku dan berharap hukuman yang diberikan nanti setimpal dengan perbuatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, dia menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin atau fitnah berhubung kematian suaminya.
“Jangan tambah duka kami. Kalau ada mana-mana pihak terus menyebarkan fitnah, maka kami akan saman,” jelasnya. Jenazah Allahyarham Rusdi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kelambu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pertengkaran dipercayai berkaitan kehilangan peralatan pekebun dan buah kelapa sawit menjadi punca seorang pemilik kebun maut dibunuh di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Ahad lalu.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kepala, manakala lapan lelaki berusia antara 20 hingga 70-an direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
View this post on Instagram
















