fbpx

Xavier Jayakumar, Edmund Santhara sah sertai PBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida (tengah) ketika sidang akhbar Persidangan Agung Tahunan 2022 PBM di Shah Alam. - Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara disahkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini.

Perkara itu diumumkan Presiden Penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin selepas selesai Persidangan Agung Tahunan 2022 PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, dua individu berkenaan menjadikan keseluruhan enam Ahli Parlimen menyertai parti tersebut setakat ini.

“Dr. Xavier Jayakumar dan Dr. Edmund Santhara secara automatiknya bersama PBM bermula hari ini.

“Selain mereka, dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Negeri Sembilan juga sedang dalam proses untuk menyertai parti kelak,” katanya pada sidang akhbar persidangan itu.

PBM sebelum ini mempunyai empat Ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi).

Manakala, lima ADUN pula melibatkan tiga dari Perak dan dua dari Selangor.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, parti berkenaan masih dalam proses perbincangan lanjut mengenai permohonan memasuki Barisan Nasional (BN).

“Perkembangan setakat ini dilihat positif dan kita menunggu maklumat yang perlu diperincikan lagi.

“Kita masih meneruskan perbincangan dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) selain beberapa ahli UMNO dan parti lain,” katanya.

Sementara itu, Zuraida menjelaskan,  ucapan beliau berkaitan penetapan tarikh pilihan raya secara tetap pada persidangan berkenaan adalah bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dan bukannya ke-15.

“Dengan adanya ketetapan tarikh pilihan raya yang dibuat di peringkat awal, semua pemegang taruh dapat melaksanakan pelan lebih sistematik dan profesional.

“Jadi, perkara seumpama itu yang perlu dilaksanakan bagi memastikan ekonomi dan politik negara stabil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI