fbpx

Mahkamah: Tidak tahu bon RM10 juta ikat diri dengan parti – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu, bahawa beliau menandatangani beberapa dokumen yang disediakan parti itu sehari sebelum pencalonan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), di bawah paksaan.

Malah Zuraida, 65, berkata secara jujurnya, beliau juga tidak tahu sama ada telah menandatangani bon bernilai RM10 juta, yang mengikatnya kepada parti atau dokumen lain.

“Saya hanya diberitahu bahawa saya perlu menurunkan tandatangan saya ke atas dokumen-dokumen tertentu untuk membolehkan saya bertanding di bawah nama parti tersebut, di mana membuatkan saya berfikir bahawa itu hanyalah dokumen-dokumen biasa tentang kebenaran untuk saya bertanding menggunakan nama Parti tersebut.

“Yang pasti, saya sama sekali tidak diberikan apa-apa pilihan lain selain daripada menandatangani dokumen-dokumen yang telah disediakan oleh parti itu. Saya telah menandatangani dokumen-dokumen tertentu di bawah paksaan tanpa diberikan pilihan sebenar, kerana saya ingin terus memberikan perkhidmatan saya kepada rakyat Malaysia khususnya, kawasan Parlimen Ampang,” katanya.

Zuraida berkata demikian dalam pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes saman yang dikemukakan PKR terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir.

Semalam Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, Zuraida menandatangani bon dengan PKR secara sukarela sebagai memenuhi syarat perjanjian sebagai calon parti sebelum bertanding pada PRU14 pada 2018.

Menurut Saifuddin, Zuraida bukan sahaja mempunyai pengetahuan penuh berhubung syarat tersebut malah tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara itu.

Tambahnya, Zuraida mengetahui keperluan bahawa setiap ahli parti yang memenangi PRU perlu menandatangani bon yang mengikat mereka agar membayar RM10 juta sekiranya meletak jawatan, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Terdahulu dalam saman itu PKR mendakwa Zuraida yang melanggar syarat bon, bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Ia mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2021, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili Zuraida memaklumkan mahkamah menetapkan pada 23 Jun bagi keputusan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI