fbpx

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli diminta kecualikan pas pengalihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZURAIDA (dua dari kiri) melihat satu daripada 30 spesies anak pokok ditanam pada Majlis Penanaman Pokok Sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022 di Stesen Penyelidikan FRIM di Selandar, Melaka.

JASIN – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) diminta mengecualikan pas pengalihan kepada pemilik tanah persendirian bagi memudahkan urusan pengambilan kayu-kayan yang terdapat di hartanah tersebut.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dalam komuniti perladangan terdapat polisi kerajaan di bawah KeTSA yang menyatakan bahawa pokok yang hendak ditebang di tanah persendirian perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Menurut beliau, prosedur itu dianggap sebagai birokrasi yang tidak perlu terutamanya jika melibatkan tanah persendirian.

“Terpulang kepada pemilik tanah persendirian sama ada dia hendak keluarkan pokok-pokok atau membersihkan tanah untuk buat rumah, pada masa sama kita boleh ambil sumber kayu-kayan yang ada di sana.

“Jadi mengapa perlu permohanan untuk mendapatkan kelulusan pengeluaran, saya mohon KeTSA kecualikan polisi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penanaman Pokok Sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida memberitahu, beliau ada menerima keluhan daripada pemain-pemain industri yang sukar mendapatkan bahan-bahan kayu.

“Kayu-kayan banyak didapati di kawasan kampung, namun mereka dikekang dengan polisi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkongsian teknologi dalam bidang perkayuan, Zuraida mahu Malaysia segera mengambil peluang untuk menjalin kerjasama dengan negara sedang membangun atau dunia ketiga.

“Malaysia memiliki kepakaran menerusi penyelidikan yang berterusan sejak 50 atau 60 tahun lalu, contohnya Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memiliki jabatan penyelidikan dan makmal ujian yang boleh dibawa ke sana.

“Perkongsian ini akan memberi manfaat kepada negara-negara lain untuk belajar dengan pantas. Antara negara yang berpotensi seperti Bangladesh, Pakistan, Kemboja serta India,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI