fbpx
Keadaan di kolam pancing yang disediakan di tapak perkhemahan.

Mencari damai di Marsha and the Bear Land of Laughter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kesibukan hidup sering membuatkan ramai mencari ruang untuk melepaskan tekanan. Ada yang memilih pantai, ada mendaki gunung dan tidak kurang juga menenangkan fikiran dengan aktiviti berkhemah sambil memancing.

Gabungan dua aktiviti ini sememangnya cukup sinonim, terutama bagi mereka yang cintakan alam semula jadi.

Bagi kaki pancing dan penggemar aktiviti perkhemahan, setiap kali ada kelapangan waktu terutamanya ketika cuti umum pasti akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan berkunjung ke sebuah lokasi perkhemahan yang membolehkan aktiviti memancing dilakukan.

Baru-baru ini, saya sempat berkunjung ke Marsha and the Bear Land of Laughter di Hijauan Height Pedas, Negeri Sembilan.Campsite ini terletak kira-kira satu jam lebih perjalanan dari Kuala Lumpur.

Ia merupakan satu lokasi yang cukup sesuai dijadikan destinasi percutian singkat bersama keluarga atau rakan-rakan.

Dari jalan utama ke tapak perkhemahan pula hanya mengambil masa sekitar 10 minit perjalanan, walaupun laluannya masih belum berturap sepenuhnya. Justeru itu, kenderaan yang terlalu rendah kurang sesuai untuk melalui jalan tersebut.

Salah seorang pengunjung bersama ikan patin hasil tangkapannya dari kolam pancing.

Sebaik tiba di kawasan perkhemahan, pengunjung pasti akan terpegun dengan keluasan kawasan yang mencecah hampir 300 ekar.

Dibuka kepada umum pada tahun 2024, tapak perkhemahan ini mengetengahkan konsep semi wild yang semakin popular dalam kalangan pencinta alam.

Konsep ini memberikan pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi tanpa mengabaikan kemudahan asas yang diperlukan pengunjung.

Keunikan bentuk muka bumi di kawasan ini menjadi antara daya tarikan utama. Gabungan tasik, aliran sungai, kawasan tanah landai serta air terjun memberikan suasana yang cukup mendamaikan.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan di dalam kawasan ini adalah Jeram Beringin, iaitu satu air terjun kecil dengan aliran air cetek dan jernih.

Kawasan ini sangat sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga, terutamanya kanak-kanak yang gemar bermain air.

Keadaan sungainya yang tidak terlalu dalam sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada ibu bapa. Namun begitu, aspek keselamatan tetap perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Menariknya di sini, pengunjung bebas memilih sendiri lokasi tapak perkhemahan mengikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing selepas tempahan dibuat.

Ada yang gemar berkhemah berhampiran sungai untuk menikmati bunyi aliran air, manakala ada juga memilih kawasan lapang berlatarbelakangkan bukit dan pepohonan hijau.

Walaupun mengetengahkan konsep alam semula jadi, namun kemudahan asas di lokasi ini tetap tersedia.

Tandas dan singki membasuh disediakan dalam keadaan memuaskan, selain terdapat perkhidmatan sewa power station dan peralatan perkhemahan bagi mereka yang tidak mempunyai kelengkapan lengkap.

Bagi pengunjung yang mahu lebih santai tanpa perlu memasak, pihak pengurusan turut menyediakan perkhidmatan tempahan makanan. Tempahan awal bagaimanapun diga­lakkan bagi memudahkan penyediaan bahan mentah dan makanan.

Memancing

Bagi kaki pancing pula, tarikan utama di sini pastinya terletak pada aktiviti memancing yang boleh dilakukan hampir sepanjang masa, sama ada siang mahupun malam. Suasana memancing di kawasan ini cukup mengasyikkan.

Ditambah pula dengan suasana sunyi ditemani bunyi cengkerik dan unggas malam, pengalaman meman­cing menjadi jauh lebih mendamaikan.

Pihak pengurusan menyediakan kolam khas memancing dengan bayaran yang cukup berpatutan. Kolam ini dibina secara tertutup dan tidak bersambung dengan saliran air semula jadi bagi memastikan ikan di dalamnya tidak terlepas keluar.

Antara spesies ikan yang terdapat di kolam ini adalah tilapia hitam, tilapia merah, patin dan keli Afrika.

Keli Afrika terkenal sebagai ikan lasak yang memberikan tentangan kuat terutama apabila dipancing menggunakan set ringan.

Ia menjadikan aktiviti memancing lebih menyeronokkan, walaupun dilakukan secara santai bersama keluarga.

Bagi pemancing yang lebih gemarkan cabaran memburu ikan liar, kawasan saliran air semula jadi di sekitar tapak perkhemahan turut menawarkan potensi tersendiri.

Pemancing boleh mencuba teknik dasar atau mengilat untuk memburu spesies seperti haruan, keli kampung, baung, puyu, sepat, dan jika bernasib baik, sebarau bersaiz kasar boleh dapat.

Keadaan persekitaran yang masih menghijau dan kurang terusik menjadikan habitat ikan liar di kawasan ini masih terpelihara.

Malah bagi pengilat gewang, laluan air di celah semak dan reba kayu memberi satu pengalaman yang cukup mengujakan.

Waktu malam pula merupakan saat yang paling dinanti-nantikan ketika berkhemah. Dalam suasana udara dingin dan nyaman, pengunjung dapat berkumpul bersama keluarga atau sahabat handai sambil menikmati juadah makan malam.

Ada yang memilih untuk membakar ayam dan ikan, manakala ada sekadar menikmati kopi panas sambil berbual panjang di bawah cahaya lampu.

Bunyi unggas malam, deruan angin serta gemersik alam semula jadi seolah-olah menjadi terapi yang sukar diperoleh dalam kehidupan bandar penuh tekanan.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memberi peluang untuk kembali menghargai keindahan alam.

Menjelang pagi, suasana di kawasan perkhemahan berubah wajah. Kabus tebal mula menyelubungi dan udara yang dingin pula memberi satu ketenangan yang sangat luar biasa.

Berlatarbelakangkan kehijauan hutan dan bukit-bukau, suasana pagi di sini cukup indah sehingga mampu membuatkan seseorang terlupa seketika kesibukan dunia luar.

Bagi kaki fotografi dan pencipta kandungan media sosial, waktu pagi merupakan masa terbaik untuk me­­rakam keindahan alam di kawasan ini.

Cahaya matahari yang mula menyelinap di celah pepohonan menghasilkan panorama yang cukup memukau.

Secara keseluruhannya, Marsha and the Bear Land of Laughter bukan hanya lokasi perkhemahan biasa.

Ia merupakan destinasi riadah yang menggabungkan elemen alam semula jadi, kekeluargaan dan aktiviti memancing dalam satu pakej lengkap.

Bagi mereka yang mencari tempat untuk merehatkan minda, meluangkan masa bersama keluarga serta menikmati pengalaman memancing dalam suasana damai, lokasi ini sememangnya antara pilihan yang wajar dipertimbangkan.

Kadangkala, apa diperlukan untuk menyegarkan kembali jiwa hanyalah bunyi aliran sungai, unggun api dan joran yang menunggu disentap ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN