PASIR PUTEH – Sebanyak empat buah motosikal polis trafik hangus dijilat api dalam kebakaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.27 pagi sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran itu melibatkan empat buah motosikal polis trafik, sebuah motosikal orang awam dan kawasan bangunan IPD Pasir Puteh.
“Lima buah motosikal itu terbakar 100 peratus manakala hanya 10 peratus struktur bangunan IPD itu terkena api.
“Api dapat dikawal kira-kira pukul 2.43 pagi sebelum operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 3.40 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azhar Elmi memberitahu, punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














