fbpx

Tindakan penguatkuasaan aktiviti lumba haram tiada kaitan isu kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily (berdiri depan) pada sidang akhbar mengenai perancangan strategi memerangi lumba haram peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama 13 jabatan dan agensi di IPD Timur Laut, George Town, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang meminta orang ramai agar tidak menimbulkan polemik perkauman apabila polis menjalankan penguatkuasaan terhadap pelesit rempit serta bengkel-bengkel motosikal yang didapati terlibat dengan pengubahsuaian bagi aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan penguatkuasan dan pencegahan aktiviti lumba haram itu dijalankan berdasarkan risikan dan siasatan yang telah dijalankan pihak polis.

“Kita minta orang ramai jangan libatkan polis dengan isu perkauman dengan menyatakan di media-media sosial polis hanya tangkap orang dan serbu bengkel Melayu sahaja.

“Tindakan terhadap mat rempit dan bengkel-bengkel ini bukannya satu tindakan penguatkuasaan secara terpilih, ia berdasarkan maklumat dan risikan yang dikeluarkan oleh pelumba sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat mengenai perancangan strategi memerangi lumba haram peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama 13 jabatan dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain di IPD Timur Laut.

Menurut Mohd. Shuhaily, tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti lumba haram itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana kaum.

“Majoriti pelumba adalah orang Melayu, itu adalah kenyataan bukan kena mengena dengan polemik kaum.

“Berdasarkan statistik Januari hingga Ogos lalu ada juga empat orang Cina ditahan kerana terlibat dengan aktiviti ini, jumlah mereka adalah kecil,” katanya.

Beritahunya, mana-mana pemilik bengkel yang tidak terlibat dengan pengubahsuaian motosikal untuk aktiviti lumba haram tidak perlu bimbang sekiranya tidak terlibat dengan aktiviti tersebut.

Dalam pada itu katanya, bagi mengekang aktiviti lumba haram di Pulau Pinang, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa kerja pencegahan dan penguatkuasaan bersama jabatan dan agensi-agensi lain.

“Jawatankuasa kerja ini dipengerusikan oleh PDRM serta JPJ dan bagi jawatankuasa kerja pencegahan ia dianggotai oleh agensi serta jabatan antaranya Jabatan Pendidikan Negeri (JPJ), Jabatan Perpaduan Negeri, Universiti Sains Malaysia (USM), Pejabat Mufti dan lain-lain.

“Bagi penguatkuasaan pula, ia dianggotai oleh JPJ, PBT, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan lain-lain di mana tujuan utama jawatankuasa kerja ini ialah memastikan aktiviti lumba haram dapat dibanteras di negeri ini,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI