fbpx

Syahida Asyiqin Rusli layak bergelar ratu kayak Sukma MSN 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN hanya menjalani latihan di Kuala Ibai, Terengganu, namun ia tidak menjejaskan reputasi pasukan pantai timur tersebut apabila berjaya melahirkan ratu kayak negara pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Atlet wanita Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli melakukan kejutan apabila menutup acara sukan kayak dengan mengodol empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada penampilan sulungnya pada sukan dwitahunan tersebut.

Lebih manis, atlet berusia 18 tahun tersebut turut memecah empat rekod kebangsaan dalam acara K1 1,000m (4:24.494s), K1 500m (2:8.362s) K1 200 (47.315s) dan K2 200m (46.365s).

Hari ini sahaja, Syahida berjaya meraih dua emas dalam acara K2 200m (meter) wanita dan K1 200m wanita di Kompleks Sukan Air, Putrajaya.

Semalam, dia berjaya meraih dua emas dalam acara K1 500m dan K1 1000m, sekali gus melengkapkan sasaran pasukan Terengganu pada Sukma kali ini.

“Sebenarnya saya benar-benar tak jangka untuk beraksi cemerlang dan meraih emas sebanyak ini terutama pada penampilan pertama saya di Sukma kerana saya sedar akan cabaran dari negeri lain.

“Maklumlah kami hanya menjalani latihan di sungai di Kuala Ibai. Kita lihat pasukan negeri lain menjalani latihan di luar negara seperti Hungary.

“Jadi saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya, jurulatih dan kawan-kawan sehingga saya berjaya untuk memperoleh kejayaan ini,” katanya yang bakal tercalon sebagai olahragawati Sukma 2022.

Syahida selepas ini akan memberi tumpuan dalam tiga acara sukan perahu naga yang akan bermula pagi esok.

Dalam pada itu, Syahida turut mengakui akan memberi tumpuan pada pelajaran dan kemungkinan tidak meneruskan kariernya dalam sukan kayak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI