fbpx

China siap sedia tawan Taiwan menjelang 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tentera China mengambil bahagian dalam latihan kawad kaki menjelang perarakan tentera di Beijing, China pada 25 September 2019. - AFP

WASHINGTON – Timbalan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Cohen memaklumkan bahawa Presiden Xi Jinping mahu tentera China berupaya untuk menawan Taiwan menjelang tahun 2027, lapor laman berita RT kelmarin.

Bagaimanapun, CIA masih percaya bahawa China turut mahukan penyatuan semula secara aman dengan Taiwan.

Kenyataan Cohen dilaporkan oleh wartawan saluran berita CNN, Katie Bo Lilis yang turut berkata bahawa Jinping melakukan persiapan ketenteraan bukan kerana mahu menyerang Taiwan pada tarikh tertentu tetapi inginkan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mempunyai keupayaan tersebut.

“Jinping belum membuat keputusan untuk berbuat sedemikian (menyerang Taiwan) tetapi telah meminta PLA melakukan persiapan di mana beliau dapat melakukan perkara itu sekiranya mahu.

“Penilaian komuniti perisikan secara keseluruhan menyatakan bahawa adalah bertentangan dengan kepentingan Jinping untuk menguasai Taiwan melalui kaedah ketenteraan,” Lilis memetik Cohen sebagai berkata.

Beijing berulang kali menyatakan hasrat untuk menyatukan semula Taiwan dengan tanah besar China menggunakan cara aman.

Dalam kertas putih yang diterbitkan Ogos lalu, pemerintah China mengesahkan komitmen tersebut melalui kaedah bukan tentera, tetapi menyimpan ‘pilihan kententeraan sekiranya perlu’.

Taiwan menolak pendekatan ‘satu negara, dua sistem pemerintahan’ yang dinyatakan dalam kertas putih itu dengan Taipei menegaskan bahawa rakyat negara itu akan menentukan masa depan mereka sendiri.

Taiwan melaksanakan pemerintahan sendiri sejak kumpulan nasionalis diketuai oleh Chiang Kai-shek melarikan diri ke pulau itu pada tahun 1949 selepas kalah dalam perang saudara dengan tentera Komunis.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf secara rasmi tetapi tidak mengesahkan kedaulatan China ke atas Taiwan sejak tahun 1970-an.

Ketegangan di Selat Taiwan memuncak bulan lalu berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taipei. 

China menganggap lawatan Pelosi sebagai pengiktirafan tidak langsung kepada kemerdekaan Taiwan. Ini berikutan Pelosi merupakan ahli parti Presiden Joe Biden dan kedudukan beliau sebagai pewaris kedua kerusi Presiden AS. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI