fbpx

Kes penipuan online menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani (kiri) beramah mesra dengan Zed Zaidi pada Majlis Pelantikan 104 figura sebagai Duta Anti-Scam JSJK di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14,140 kes penipuan dalam talian direkodkan membabitkan kerugian RM482 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu menurun sebanyak 6,561 kes berbanding 20,701 kes direkodkan dengan kerugian RM560 juta bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

“Kes pembelian dalam talian merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 6,449 kes direkodkan pada tahun ini (Januari hingga Ogos lalu) menbabitkan kerugian RM89 juta berbanding 9,499 kes (RM73 juta) pada tahun lalu.

“Sebanyak 2,191 kes pinjaman tidak wujud direkodkan pada tahun ini dengan kerugian RM25 juta berbanding 4,784 kes (RM50 juta) pada tahun lalu,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelantikan 104 figura sebagai Duta Anti-Scam JSJK di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 2,379 kes penipuan pelaburan dalam talian dicatatkan membabitkan kerugian RM151 juta pada tahun ini berbanding 3,195 kes (RM245 juta) pada tahun lalu.

“Bagi kes Macau Scam pula, sebanyak 2,439 kes direkodkan dengan kerugian RM147 juta pada tahun ini berbanding 1,585 kes (RM84 juta) pada tahun lalu.

“Sebanyak 549 kes dengan kerugian RM39 juta membabitkan African Scam direkodkan pada tahun ini, manakala 1,460 kes (RM56 juta) dicatatkan pada tahun lalu,” katanya.

Jelas beliau, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) pula merekodkan sebanyak 101 kes membabitkan kerugian lebih RM1.3 juta pada tahun ini berbanding 121 kes (RM1.7 juta) pada tahun lalu.

“Bagi kes Business Email Compromise (BEC) pula, sebanyak 32 kes direkodkan membabitkan RM28 juta kerugian pada tahun ini berbanding 57 kes (RM49 juta) pada tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI