fbpx

Khairul Amin berhentikan pengurus ‘kekwat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENYATAAN Khairul Amin tentang keputusannya memberhentikan pengurusnya selepas lelaki itu terpalit kontroversi berlaku biadab dan sombong terhadap pelanggan yang ingin berurusan.

PETALING JAYA – Cef selebriti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Amin mengambil keputusan tegas dengan memberhentikan pengurusnya gara-gara lelaki itu terpalit dengan dakwaan bersikap sombong dan biadab.

Khairul atau nama lengkapnya Khairul Amin Kamarulzaman, 30, berkongsi perkara tersebut menerusi rajutan ciapan dalam Twitternya hari ini.

Ujar Khairul atau digelar Ming dalam kalangan peminatnya, dia secara peribadi meminta maaf kepada semua pihak yang pernah berurusan dengan bekas pengurusnya itu.

“Dia kawan saya dan saya sangat percayakan dia untuk uruskan kerja tanpa betul-betul meneliti kualiti kerja dia. Akhirnya, ramai orang lalui pengalaman buruk dengan dia selama ini,” katanya.

Seiring dengan keputusan tersebut, usahawan asal Kelantan itu memaklumkan dia sudah menghapus kontak pengurusnya dalam semua media sosial.

Khairul pada masa sama mengakui ramai yang menasihatkannya supaya mengasingkan antara persahabatan dengan bisnes.

“Saya akui perkara ini yang paling susah untuk saya sebab saya bermula dari bawah dengan kawan-kawan. Saya ambil maklum dan akan ambil tindakan sewajarnya.

“Sekali lagi saya nak mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat selama ini. Hari ini saya banyak belajar dan akan cuba menambah baik kerja pada masa depan,” ujarnya.

Buat masa ini, pengusaha jenama Sambal Nyet Berapi itu akan menguruskan sendiri perihal kerja sehingga pengganti baharu ditemui.

Malah dia juga memberitahu akan berhenti seketika menghasilkan video untuk klien termasuklah produk makanan, restoran mahupun seminar.

“Saya nak fokus apa yang saya suka dari tujuh tahun lepas iaitu video memasak,” katanya.

Semalam, media sosial kecoh dengan pendedahan seorang pengguna Twitter terhadap sikap sombong pengurus Khairul dikenali sebagai Fadilat apabila membalas pertanyaan dengan cara biadab.

Sejak ciapan tersebut tular, ramai netizen lain ‘melondehkan’ perangai berlagak lelaki itu apabila mengakui berdepan pengalaman sama ketika berurusan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI