PARA penggemar stik daging lembu dan kambing di sekitar Lembah Klang kini mempunyai satu lagi pilihan lokasi terbaik untuk menikmati sajian Barat tersebut.
Ia selepas Restoran Premium Steak Zende (RPSZ) di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur memperkenalkan pilihan menu baharu berasaskan daging premium panggang pada akhir bulan lalu.
Sajian di restoran berkonsepkan moden kontempori itu dihasilkan oleh cef terkemuka yang mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan stik di negara ini.
Sous Cef RPSZ, Zulkifli Ahmad berkata, restoran berkenaan menawarkan kira-kira 10 pilihan menu stik yang terdiri daripada daging premium seperti wagyu, black angus dan Australia lamb.
Jelasnya, langkah memperkenalkan stik daging premium tersebut didorong oleh permintaan pelanggan tempatan serta dari luar negara terutamanya selepas pintu sempadan dibuka kembali.
“Kami memperkenalkan stik daging premium disebabkan trend masyarakat yang tidak kisah berbelanja besar bagi menikmati sajian ini. Kita boleh lihat restoran berasaskan stik sentiasa penuh.
“Pada masa sama, hotel kami mempunyai ramai pelawat dari luar negara. Jadi, menu-menu berasaskan stik ini akan menjadi pilihan mereka sepanjang tinggal di sini,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Antara menu stik yang ditawarkan di RPSZ adalah wagyu sirloin-Japan A5 220 gram (g), wagyu ribeye- Australia M7 220g, black angus ribeye 340g, black angus sirloin 340g, angus BBQ short rib, angus tomahawk dan Australian lamb cutlet.
Menurut Zulkifli, daging premium tersebut akan diperap terlebih dahulu dengan perapan khas selama beberapa jam sebelum dipanggang secara perlahan-lahan mengikut kehendak pelanggan.
“Bahan perapan yang kami gunakan ialah cajun spice, garam dan lada. Pelanggan boleh pilih sama ada ingin menikmati daging ini secara rare (kurang masak), medium (sederhana masak) atau well done (masak sepenuhnya).
“Stik ini datang bersama pilihan sos lada hitam, mix mushroom, bearnaise, spearmint, english mustard dan yellow mustard. Hidangan kegemaran pelanggan di sini adalah angus tomahawk dan angus BBQ short rib,” jelasnya.
Restoran berkenaan turut menawarkan pilihan menu pembuka selera berupa mushroom ragout bruschetta serta beef brisket with oil and cilantro. Tidak ketinggalan adalah pilihan sup berupa French onion dan lobster bisque.
“Kami juga menawarkan pilihan pemanis mulut berupa tiramisu dengan coulis dan chocolate trifle cake. Pilihan minuman pula adalah jus, air mineral, air berkarbonat, kopi dan teh,” kongsinya.
Orang ramai yang ingin menikmati hidangan di RPSZ disaran membuat tempahan terlebih dahulu. Harga stik bermula serendah RM150 dan bergantung kepada berat.
Bagaimanapun RPSZ menawarkan diskaun sebanyak 31 peratus kepada pelanggan sehingga 19 September ini.














