fbpx

Lima ahli Geng Jimmy ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohd. Zahari Wan Busu (dua dari kiri) menunjukkan bahan rampasan dipercayai digunakan ahli kumpulan geng ‘Jimmy’ untuk melakukan gangguan dan ugutan kepada mangsa di IPD Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis berjaya menahan lima suspek termasuk seorang wanita sarat mengandung dipercayai ahli geng ‘Jimmy’ yang menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, penahanan itu dibuat hasil laporan seorang individu berkaitan gangguan dan ugutan serta rumah yang dikunci dan disimbah cat merah.

“Kelima-lima suspek berusia antara 29 hingga 45 tahun itu ditahan pada 1 September lalu yang mana tangkapan pertama kira-kira pukul 4 petang merupakan sepasang kekasih yang ketika itu sedang melakukan kerja-kerja mengunci pagar dan menghantar notis di kawasan Permatang Badak di sini.

“Susulan penahanan pasangan terbabit membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di kawasan Perkampungan Sungai Isap yang sedang berlegar-legar mencari rumah peminjam bagi melakukan aktiviti mereka termasuk menyimbah cat merah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Tambahnya, turut dirampas ketika tangkapan ialah dua tong cat merah, satu tong cat hitam, dua botol ‘thinner’, satu batang besi, kayu serta plastik untuk membancuh, lapan rantai besi, mangga, kertas tertera ugutan dan butiran peminjam.

Menurut Wan Mohd. Zahari, kes itu disiasat mengikut Seksyen 29AA dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek terlibat secara langsung membantu pihak Ah Long melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di beberapa buah rumah sekitar Kuantan berikutan kegagalan peminjam membuat bayaran hutang.

Katanya hasil siasatan lanjut mendapati kelima-lima suspek mengaku membaling cat merah dan mengunci pagar rumah peminjam melibatkan kira-kira 31 orang sejak 2021 hingga kini.

“Mereka mengaku dibayar berdasarkan perbuatan dilakukan iaitu kerja melempar cat dibayar sebanyak RM250, mengunci pagar menggunakan mangga dibayar sebanyak RM150 dan RM60 bagi kerja menghantar notis.

“Pihak polis masih berusaha untuk mengenal pasti dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan subjek yang bernama ‘Jimmy’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan mangsa-mangsa lain yang masih belum membuat laporan polis.

“Orang ramai yang menjadi mangsa diminta segera membuat laporan polis selain membantu menyalurkan maklumat berkaitan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI