fbpx

Rosmah fail rayuan 2 keputusan hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Sehari selepas disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda berjumlah RM970 juta terhadapnya.

Isteri bekas Perdana Menteri itu turut memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan beliau untuk menggugurkan hakim berkenaan daripada keseluruhan prosiding perbicaraan.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merayu terhadap ketiga-tiga sabitan dan hukuman selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini yang diumumkan semalam.

Kedua-dua notis rayuan difailkan secara emel lewat petang ini melalui Tetuan Akberdin & Co. di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang menganggotai pasukan pembelaan ketika dihubungi wakil media mengesahkan perkara itu.

Semalam Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah, 70, menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi ketiga-tiga kesalahan rasuah dan penjara 30 tahun lagi jika gagal membayar denda mencecah hampir RM1 bilion.

Bagi kesalahan pertama, Rosmah dikenakan denda RM937.5 juta, kesalahan kedua RM7.5 juta manakala kesalahan ketiga RM25 juta.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan ia dijalankan serentak.

Rosmah disabitkan atas satu tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta iaitu RM1.5 juta dan RM5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri bagaimanapun dibenarkan oleh Hakim Mohamed Zaini menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI