fbpx

Golongan B40 bukan kelas bawahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana pengunjung yang membanjiri ruang Dataran Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka Rabu lalu.
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Kejayaan sambutan Hari Kemerdekaan di ibu negara kelmarin menggambarkan betapa teruja­nya rakyat malaysia me­nyambut tarikh keramat 31 Ogos.

Kehadiran pengunjung dari seluruh negara tanpa mengira kaum, usia dan agama bersama-sama mengibarkan jalur gemilang jelas menunjukkan perpa­duan dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, lain pula gambarannya di platform media sosial apabila wujud sekumpulan individu yang membeza-bezakan tahap pendapatan isi rumah dengan golongan B40 disifatkan sebagai kelas bawahan.

Malah lebih membimbangkan apabila setiap kali berlaku jenayah, masalah sosial atau perkara yang tidak menyenangkan sudah pasti golo­ngan B40 akan dilabelkan sebagai pelaku sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan pengguna media sosial.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu tidak sepatutnya terjadi kerana tujuan utama pihak kerajaan mengklasifikasikan satu-satu golongan itu adalah bagi memastikan pe­ngagihan hasil negara dapat di­sampaikan dengan lebih bersasar.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan keseluruhan masyarakat tanpa mengira status sosial dibantu atau merasai pembangunan kesejahteraan yang dimiliki negara, jadi untuk itu pelbagai kaedah digunakan bagi memastikan tiada pihak yang tertinggal.

“Salah satunya adalah pengkelasan berdasarkan pendapatan isi rumah seperti T20, M40 dan B40 iaitu untuk memastikan bahawa kemakmuran pembangunan yang dibina kerajaan sampai kepada keseluruhan masyarakat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Mohammad Shatar, masyarakat bagaimanapun harus memahami bahawa pembahagian sebegitu bukanlah untuk menyatakan bahawa ada pihak yang lebih baik atau kurang sumbangannya kepada pemba­ngunan negara secara keseluruhannya.

“Jika dilihat dari sudut Islam pun terdapat pengkelasan tersendiri iaitu mereka yang layak dibantu dengan pemberian zakat atau mereka yang berkemampuan dan tidak layak mene­rimanya.

“Tidak ada timbul isu kasta, pengasingan atau diskriminasi cuma yang berlaku mungkin persepsi yang dibuat oleh kumpulan tertentu yang tidak begitu gemar dengan cara atau kaedah berkesan yang dilakukan kerajaan untuk membantu keseluruhan masyarakat kita,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, tindakan merendah-rendahkan golongan tertentu sebegitu seharusnya dihentikan kerana dibimbangi akan bertukar menjadi satu ketetapan atau kepercayaan yang seterusnya menyumbang kepada masalah sosial yang lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi perutusan Hari Kebangsaan 2022 turut menekankan bahawa nilai kemerdekaan rakyat Malaysia telah berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

“Hanya rasa cinta kepada negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita.

“Seharusnya Keluarga Malaysia terus bekerjasama dan saling bantu membantu untuk membangunkan negara agar tiada pihak yang terpinggir dan dapat merasai kejayaan yang telah dicapai selama 65 tahun Malaysia merdeka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI