fbpx
Hazida (dua dari kiri) dan Rosainy (dua dari kanan) menerima sumbangan manfaat caruman Perkeso di Perumahan Taman Jaya, Cherang Ruku, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG.

Bot karam: Guna pencen penakat untuk badal haji arwah suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Isteri kepada salah seorang daripada lima mangsa bot karam di perairan Pulau Redang, Terengganu bulan lalu berazam untuk menggunakan wang pengurusan jenazah dan pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) milik suami untuk kegunaan badal haji pada tahun depan.

Badal haji bermaksud ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, uzur atau kematian ke atas orang yang perlu mengerjakan haji.

Rosainy Mohd. Zin, 47, yang merupakan Pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sepulau berkata, wang tersebut juga untuk kerja-kerja kebajikan bagi pihak arwah suaminya, Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49,.

“Selain itu, wang pencen penakat dan Faedah Orang Tanggungan akan digunakan untuk pengurusan keluarga serta keperluaan tiga anak yang berusia 10 hingga 15 tahun. Arwah dahulunya bekerja sebagai pemandu bas ekspres sebelum berhenti untuk menjaga keluarga.

“Selain itu, arwah juga sering berjemaah di surau berdekatan rumah. Dia juga dia gemar turun ke laut sekadar memenuhi minatnya untuk menangkap dan memancing ikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Perkeso di rumahnya di Perumahan Taman Jaya, Cherang Ruku di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 8 Ogos lalu, Raja Zainudin, Mohd. Nazri Abu Bakar, 48, Zulkifli Umar, 48, dan tekong bot, Saludin Ismail,50, lemas selepas bot yang dinaiki mereka dipukul ombak besar setinggi lebih dua meter sehingga berputar apabila sauh yang dilabuhkan tercabut.

Dalam kejadian itu, hanya seorang mangsa, Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, yang selamat apabila sempat berpaut pada penutup tong ikan dan pelampung bubu sebelum terapung di tengah lautan selama 14 jam.

Sementara itu, isteri kepada Mohd. Nazri, Hazida Fouzi, 44, berkata, dia juga mahu membuat badal haji untuk suaminya yang meninggal dunia dalam kejadian itu.

Menurutnya, wang tersebut juga akan digunakan untuk perbelanjaan sekolah dua anaknya yang masih bersekolah.

“Saya tidak berkerja dan kehilangan suami yang menjadi tunggak ekonomi keluarga amat dirasai. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila dua orang anak berusia 18 dan 22 tahun turut membantu mengukuhkan kewangan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR