KAJANG – Keluarga kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras di sini semalam masih berharap mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Bapa saudara mangsa, Afiq Ahmad, 33, berkata, kejadian tersebut amat meresahkan keluarga yang sedang menanti perkembangan dari semasa ke semasa.
“Walaupun peluang tipis, kami masih menaruh harapan agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurutnya, kejadian disedari pukul 7.09 malam selepas bapa mangsa, Mohd. Qayyum menerima panggilan daripada dua anak lelakinya yang memaklumkan Nur Qaseh Deandra terjatuh ke dalam longkang ketika mengambil bola berhampiran taman permainan di belakang rumah mereka.
“Pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan melakukan operasi mencari hingga pukul 12 tengah malam, namun belum ada sebarang petunjuk. Kami tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar anak saudara segera ditemui,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, berkata, lokasi kejadian merupakan padang dan taman permainan yang menjadi tumpuan kanak-kanak di pangsapuri itu termasuk Nur Qaseh.
“Semalam dia keluar bermain dengan rakan-rakan yang tinggal di pangsapuri ini. Selepas kejadian, abangnya yang juga anak kedua saya naik ke rumah dan memaklumkan kepada saya serta suami,” katanya.
Menurutnya, suaminya segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.
Mengulas mengenai penemuan selipar dan bola di sekitar kawasan pencarian hari ini, Nordina mengesahkan barangan tersebut bukan milik anaknya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras semasa mengambil bola dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.08 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pencarian kini diperluaskan dengan tumpuan kepada sistem pembetungan bawah tanah di sekitar lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














