fbpx

Rampas syabu RM10.89 juta di Ampang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi (tengah) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam teh cina Guanyinwang pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini./ FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kegiatan dua lelaki termasuk transporter dadah sejak dua bulan lalu tumpas apabila polis berjaya merampas syabu bernilai RM10.89 juta di sebuah premis sekitar Kampung Baru Ampang dekat sini, baru-baru ini.

Serbuan yang dilakukan pada pukul 5.20 petang 20 Ogos lalu berjaya menahan dua-dua suspek terbabit masing-masing berusia 23 dan 51 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semasa tangkapan dilakukan suspek sedang melakukan proses transaksi sebelum pengedaran dijalankan dipercayai di sekitar Lembah Klang.

“Dadah itu dirampas dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diparkir di hadapan sebuah premis di lokasi tersebut selepas menahan salah seorang suspek terlebih dahulu.

“Syabu tersebut diletakkan dalam 349 bungkusan kekuningan bertulisan Guanyinwang seberat 363.03 kilogram.

“Susulan itu, kita kemudian menangkap seorang lagi suspek di lokasi berhampiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek pertama berusia 23 tahun berperanan sebagai transporter manakala seorang lagi menjadi ‘peninjau’ kawasan sekitar.

Tambah Arjunaidi, siasatan mendapati dadah itu diperoleh dari negara jiran dengan kedua-dua suspek telah aktif sejak dua bulan lalu.

“Semakan juga mendapati hanya suspek kedua mempunyai rekod lampau manakala hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif,” katanya.

“Kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI