fbpx
MOHAMMAD SOFIYUDDIN menunjukkan udang galah yang berjaya dipancing di Sungai Kuantan.

Sungai Kuantan jadi tumpuan peminat udang galah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UDANG galah atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii merupakan sejenis udang air tawar yang mempunyai peminatnya tersendiri.

Bagi mereka yang gemar memancing udang galah sebagai satu hobi sanggup meredah sungai yang menjadi lubuk haiwan air tawar itu berjam-jam lamanya.

Bagi pemancing tegar pula, mereka sanggup berhabis duit dengan mengunjungi lubuk udang galah di sungai-sungai di negeri berlainan semata-mata untuk menjinakkan sang sepit biru itu.

Biarpun udang galah banyak dikaitkan dengan lubuk buaya, namun itu semua tidak menakutkan mereka.

Di setiap negeri di Malaysia mempuyai kawasan atau lubuk udang galah tersendiri.

Di Pahang, daerah Rompin mendapat jolokan sebagai lubuk udang galah, berikutan daerah itu cukup terkenal dengan pengeluarannya sama ada udang liar mahupun yang diternak.

Begitupun, ramai yang terlepas pandang bahawa Sungai Kuantan juga antara lubuk memancing udang galah terbaik di negeri tersebut, memandangkan populasi udang galah di sungai itu masih lagi terpelihara.

Ia ditambah dengan langkah proaktif Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang melepaskan benih udang galah secara konsisten bagi menjamin kelestarian udang galah di Sungai Kuantan.

Namun inisiatif itu perlu seiring dengan kesedaran masyarakat, terutamanya nelayan dan pemancing rekreasi supaya khazanah alam itu tidak terancam oleh kerosakan ekosistem atau dituai secara berlebihan.

Bagi pemancing tegar udang galah, Mohd. Rizan Mohd. Nor, 55, dari Cenderawasih, Kuantan, sungai berkenaan masih mempunyai lubuk terbaik untuk memancing udang galah dan jika rajin keluar memburunya, pasti akan memperoleh hasil yang cukup lumayan.

Katanya, dia yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun memancing udang galah di sungai tersebut boleh dikatakan sudah mahir dengan selok- belok kawasan itu.

PEMANCING udang galah perlu bersabar sebelum umpan disambar sang sepit biru.

“Saya mengetahui di mana lubuk yang berpotensi untuk memancing udang galah di sini.

“Pada kemuncak musim, kita boleh lihat ramai pemancing ‘bersauh’ di sepanjang sungai ini sama ada dengan bot sendiri atau yang disewa, malah tidak kurang melepaskan gian memancing dari atas tebing.

“Situasi itu sekali gus menunjukkan, sungai ini mempunyai ‘stok’ udang galah yang masih banyak,” katanya.

Mohd. Rizan memberitahu, paling mengujakan apabila dia berjaya mendaratkan si sepit biru bersaiz besar yang digelar ‘jenggo’ atau ‘pak tua’ dalam kalangan pemancing yang masih banyak di sungai berkenaan.

Berkongsi teknik memancing udang galah, Mohd Rizan berkata, pelbagai umpan boleh digunakan untuk menjerat spesies tersebut.

Ia katanya, termasuk anak udang, umpun-umpun atau hati ayam, namun bagi dirinya, dia lebih gemar menggunakan umpan cacing.

“Bagi peralatan pula, kebiasaannya saya menggunakan mata kail bersaiz empat, manakala batu ladung pula saiz enam.

“Ia turut dipadankan dengan joran empat kaki dan selalunya saya membawa hanya lapan joran pada satu-satu masa.

“Saya biasanya lebih gemar keluar memancing udang galah secara bersendirian, namun ada masanya ditemani rakan-rakan termasuk jiran yang berkongsi hobi sama.

“Kami pada kebiasaannya keluar pada hari minggu atau setiap kali ada kelapangan,”katanya.

Sementara itu, rakannya, Mohammad Sofiyuddin Sarani, 37, berkata, Sungai Kuantan kini semakin dikenali oleh pemancing dari luar daerah atau negeri itu untuk memancing udang galah.

Katanya, setiap kali musim udang galah, sungai itu pastinya menjadi tumpuan ramai.

“Pada musim udang galah, biasanya sukar untuk mendapatkan bot sewa kerana sudah habis ditempah.

“Bagi mengelakkan kecewaan tersebut, mereka yang berminat terpaksa membuat tempahan lebih awal.

“Malah saya mendapat tahu, ada sesetengah penyedia perkhidmatan bot sewa menerima tempahan daripada para pelanggan sebulan lebih awal,” katanya.

Sofiyuddin berpendapat, keadaan itu menujukkan betapa pentingnya kelestarian Sungai Kuantan yang menjadi habitat udang galah dipulihara sepanjang masa.

Ini kerana katanya, ia bukan sahaja untuk keseimbangan ekosistem, malah turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi penduduk setempat.


HASIL tangkapan udang galah Mohd. Rizan di Sungai Kuantan tidak mengecewakan.

Ujarnya, udang galah menjadi satu daripada sumber pendapatan kepada golongan nelayan sungai, memandangkan harganya boleh dikatakan agak mahal dan permintaan semasanya juga tinggi.

“Selain itu, ia turut merangsang industri hiliran iaitu perkhidmatan bot sewa yang kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Ini berikutan sungai ini menjadi tumpuan pemancing dari dalam dan luar daerah ini, malahan ada juga datang dari luar Pahang,” katanya.

Ujarnya lagi, bagi menjamin kelangsungan udang galah di Sungai Kuantan, nelayan dan pemancing rekreasi diharap dapat memainkan peranan masing-masing, di samping usaha berterusan yang dilakukan pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN