fbpx

Simpan dadah di kondominium mewah elak dihidu pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah yang berjaya dirampas polis hasil serbuan di kondominium di Kepong dan Bukit Jalil pada 22 dan 23 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket dadah menjadikan kondominium mewah yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah terbongkar selepas polis melakukan serbuan di Kepong dan Bukit Jalil pada 22 dan 23 Ogos lalu.

Serbuan yang dilakukan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur turut menahan dua lelaki berusia 48 tahun serta merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM708,900.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihak JSJN telah melancarkan Op OTTO bagi menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan yang bergerak aktif di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Serbuan pertama dijalankan pada 22 Ogos di sebuah kondominium di Jalan Vista Mutiara, Kepong dan berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama 1,000 pil ekstasi serta syabu (123.87 gram) yang masing-masing dianggarkan bernilai RM18,000 dan RM12,300,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lanjutan daripada serbuan pertama, pihak JSJN menjalankan serbuan kedua di sebuah kondominium di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil pada 23 Ogos lalu.

“Seorang lelaki berusia 48 tahun berjaya ditahan bersama 35,700 pil ekstasi dan syabu (1.04 kilogram) yang masing-masing dianggarkan bernilai RM642,600 dan RM36,000,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil rampasan daripada kedua-dua serbuan dianggarkan bernilai RM708,900.

Ujar Azmi, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah bagi menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa.

“Semakan mendapati bekalan dadah diperoleh daripada pengedar dadah tempatan untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Suspek juga tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI