fbpx

Mahkamah: Penahanan salah, Khairuddin peroleh ganti rugi RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUDDIN

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memperoleh ganti rugi RM300,000 atas penahanannya secara salah pada 2015 mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon, memutuskan demikian melalui prosiding secara dalam talian hari ini selepas mendapati Khairuddin selaku plaintif berjaya membuktikan penahanannya itu dibuat menyalahi undang-undang.

Meskipun memperoleh ganti rugi, mahkamah menolak dakwaan Khairuddin bahawa kerajaan membuat pendakwaan berniat jahat terhadapnya.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Defendan pertama hingga keempat adalah dua pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintenden C Muniandy; Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Habibi Majinji dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut dinamakan adalah Masri; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan kerajaan Malaysia, selaku defendan kelima hingga kelapan.

Khairuddin mendakwa ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan pada 23 September, tetapi ditahan semula mengikut SOSMA.

Dia kemudian dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L SOSMA atas dakwaan cuba sabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes itu terhadap plaintif sebelum Khairuddin dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI