fbpx

Sahabat karib belah perut, ‘curi’ bayi dalam kandungan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Flavia Godinho Mafra berusia 24 tahun ketika dia dibunuh. - @flavia.godinho.18/ Newsflash

BRASILIA – Seorang wanita di Brazil yang hamil 36 minggu meninggal dunia selepas sabahat karibnya cuba ‘mencuri’ bayi dalam kandungan mangsa, lapor akhbar Daily Star semalam.

Flavia Godinho Mafra, 24, sedang mengandung anak pertama bersama suaminya, Valdeli. Mereka berkahwin pada Oktober 2019 dan tinggal di Canelinha, negeri Santa Catarin, lapor akhbar Mirror UK pula.

Rakan sekolahnya, Rozalba Grimm menawarkan diri untuk mengadakan parti prakelahiran atau ‘baby shower’ untuk bayi itu. Grimm turut berkongsi di media sosial baru-baru ini bahawa dia hamil.

Mafra hanya diberitahu untuk hadir ke acara itu dan Grimm akan menguruskan persiapan lain. Dia pergi ke acara itu pada 27 Ogos 2020,  manakala Valdeli menyedari isterinya tidak menggunakan aplikasi WhatsApp selama beberapa jam.

Wanita itu juga tidak pulang ke rumah dan apabila Valdeli menghubungi tetamu lain, mereka memberitahu bahawa acara itu telah dibatalkan.

Grimm membuat laporan orang hilang dan memberitahu polis  bahawa Mafra beredar bersama orang lain selepas diberitahu acara itu dibatalkan.

Pencarian Mafra membawa keluarga Vandeli ke sebuah gudang tembikar di mana mereka menemui sebuah tanur besar. Mayat mangsa ditemui di dalamnya dengan perut yang dibelah dan bayinya dikeluarkan.

Bedah siasat mendapati kepala Mafra dipukul dengan batu bata tetapi dia meninggal dunia akibat pendarahan. 

Dalam pada itu, Grimm dan suaminya, Zulmiar Schiestl tiba di hospital dengan bayi yang baru lahir. Dia mendakwa telah melahirkan anak tetapi kakitangan hospital curiga terhadapnya.

Mereka tidak menemui sebarang tanda fizikal bahawa dia telah bersalin, manakala bayi perempuan itu mengalami luka di bahagian belakangnya. Selepas ujian dijalankan, dia didapati cuba untuk menjadikan bayi Mafra sebagai anaknya.

Grimm didakwa dengan pertuduhan membunuh, cubaan membunuh, penculikan dan penyembunyian mayat. Dia difahamkan mengalami keguguran sebelum ini.

Pihak pendakwa berkata, Grimm sihat dari segi mental. Dia didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 57 tahun. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI