fbpx

Banjir kilat ragut 20 nyawa, lebih 35 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Banjir kilat yang dahsyat telah merobohkan berpuluh-puluh rumah di Afghanistan. - khaama

KABUL – Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban akibat banjir kilat di tengah Afghanistan sejak 48 jam lalu dengan hujan lebat turut memusnahkan beribu-ribu kediaman dan merosakkan kawasan pertanian, lapor laman berita Wion News semalam.

Afghanistan mengalami banyak bencana alam pada tahun ini termasuk kemarau teruk dan gempa bumi dahsyat yang menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban pada Jun lalu.

Banjir di wilayah Logar itu mengakibatkan 20 kematian dan 35 mangsa cedera, demikian menurut jurucakap agensi pengurusan bencana Afghanistan, Mohammad Nassim Haqqani.

Laporan tidak rasmi bagaimanapun meletakkan angka korban yang lebih tinggi. 

Pentadbiran Taliban telah bergelut untuk bertindak balas terhadap bencana alam yang berterusan dan meminta bantuan antarabangsa.

Dalam satu rakaman video yang dikongsikan di media sosial, jurucakap kepimpinan Taliban, Zabihullah Mujahid merayu kepada masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara Islam dan organisasi kemanusiaan untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa.

Walaupun organisasi bantuan antarabangsa telah menawarkan sokongan selama berbulan-bulan, Afghanistan dikatakan memerlukan lebih banyak akses kepada sumber dan pembiayaan bagi mengelak malapetaka kemanusiaan daripada berlaku.

Ia termasuk penduduk hilang tempat tinggal dan tidak mempunyai akses kepada tempat perlindungan ataupun  air bersih. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI