fbpx

Projek RUMAWIP diperhalusi semula untuk diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU Adnan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Putrajaya sempena Program Merdeka@Komuniti di Myfarm Outlet, Presint 7 hari ini.

PUTRAJAYA – Projek perumahan mampu milik, Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Presint 7 di sini, yang diluluskan untuk pembinaan pada 2019 akan diperhalusi semula untuk dibangunkan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau kini sedang berbincang dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi membangunkan semula projek berkenaan.

Katanya, beliau berasa paling sedih kerana projek perumahan itu telah dibatalkan ketika era Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan.

“Ketika saya bergelar Menteri Wilayah Persekutuan, projek ini sudah pun mendapat kelulusan dan sudah dirasmikan malah, menunggu masa dibangunkan.

“Mengikut perancangan, 500 unit kediaman dengan keluasan 800 kaki persegi akan dibangunkan menerusi projek ini dengan harga RM80,000 seunit,” katanya ketika ditemui pada program bersama peniaga Myfarm Outlet di sini, hari ini.

Projek pertama RUMAWIP @ Sentral di Presint 7 disasarkan kepada penjawat awam kumpulan sokongan dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Tengku Adnan berkata, mengikut perancangan juga, MyFarm Outlet di Presint 7 di sini sepatutnya dibangunkan sebagai sebuah pasaraya, namun ia juga tidak menjadi kenyataan.

“Satu lagi projek perumahan yang dipersetujui bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dahulu turut dicadangkan di Presint 15 namun, turut dicantas oleh PH,” katanya.

Sementara itu, ditanya perancangannya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Tengku Adnan berkata, beliau menjangkakan kerusi Parlimen yang disandangnya sejak empat penggal lalu akan cuba direbut empat parti lain.

“Saya dengar empat parti akan bertanding melawan saya di sini iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Saya akan bertanding dan pertahankan kawasan saya. Kita balun dan lawan semua parti itu,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Tengku Adnan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya selepas menang dengan majoriti 3,372 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI