KAJANG – Sebahagian banduan wanita yang terlibat dalam gejala penagihan dadah mengakui mereka sukar untuk meninggalkan ketagihan kerana ‘najis’ dadah sudah sebati dalam diri selain pengaruh rakan-rakan penagih dan masalah keluarga.
Begitu pun, mereka yang sudah berulang kali masuk keluar penjara masih memasang impian untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dan tidak mahu kembali ke tirai besi.
Seorang banduan yang mahu dikenali sebagai Nadia, 44, memberitahu, dia telah empat kali masuk penjara akibat penyalahgunaan dadah.
Ibu kepada seorang anak itu terlibat dengan najis dadah sejak tahun 2013 selepas suaminya yang juga merupakan seorang penagih tegar telah berlaku curang kepadanya.
“Disebabkan berang dengan tindakan suami yang menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita yang juga rakan penagih, jadi saya ambil keputusan untuk menghisap dadah di hadapan suami.
“Malangnya, suami yang ketika itu turut khayal tidak menghalang tindakan saya. Sejak itu, saya mula ketagihan dan terus hanyut dalam dunia tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Nadia yang berasal dari Thailand berkata, kali pertama dia ditahan pihak berkuasa pada tahun 2016 atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan itulah pengalaman pertamanya bergelar seorang banduan selama empat bulan.
Selepas dikeluarkan dari penjara katanya, dia masih lagi menghisap dadah kerana ketagihan itu sukar dihentikan dan sekali lagi ditangkap serta dipenjarakan pada tahun 2016.
“Bukan saya suka-suka mahu masuk keluar penjara dan menghisap dadah, tetapi apa yang saya boleh katakan, sekali sudah terlibat memang susah hendak tinggalkan,” ujarnya.
Nadia memberitahu, tidak lama selepas dibebaskan, dia ditahan lagi pada tahun 2019 atas kesalahan sama.

Katanya, selepas keluar penjara, dia telah dapat menghentikan sementara ketagihan dadah buat beberapa bulan, tetapi akhirnya kecundang semula angkara pengaruh rakan penagih.
“Pada tahun 2020, saya dipenjara lagi dan kali ini hukuman lebih berat apabila saya dijel selama lima tahun. Saya memang tidak dapat terima keputusan itu kerana sebelum ini saya dipenjarakan untuk tempoh beberapa bulan sahaja.
“Bagaimanapun, keputusan itu sebenarnya sedikit sebanyak memberikan semangat baharu kepada saya untuk berubah dan betul-betul tinggalkan najis dadah ini,” ujarnya.
Nadia bersyukur kerana meskipun dia terlibat dengan dadah, ahli keluarga serta anaknya tidak pernah menyisihkannya, malah terus memberikan semangat kepadanya agar dapat berubah dan menjadi insan yang lebih baik sebaik sahaja keluar dari penjara.
Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Iman, 32, berkata, walaupun dikenakan hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan penyalahgunaan dadah, dia tidak mahu berputus asa untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Mengakui memang sukar untuk meninggalkan najis dadah, Iman yang sebelum ini sudah beberapa kali keluar masuk penjara atas kesalahan sama berkata, hukuman penjara yang dikenakan kali ini benar-benar menginsafkan dirinya.
“Saya akui memang pernah beberapa kali dimasukkan ke penjara kerana kesalahan dadah, tetapi tempoh hukuman sebelum ini hanya beberapa bulan. Bukanlah tidak serik, tetapi hendak berhenti mengambil bahan terlarang itu tidak semudah yang disangka.
“Pada awalnya, saya tidak mahu mengaku kesalahan itu semasa dibicarakan, namun akhirnya mengaku bersalah kerana saya nekad mahu tebus semula kesilapan dan nekad untuk berubah,” ujarnya.
Iman berkata, meskipun keadaan dirinya begitu, dia bersyukur kerana tidak pernah ditinggalkan keluarganya, malah mereka juga memberi sokongan sepanjang dia berada di dalam penjara.
“Keluarga saya banyak memberi sokongan serta nasihat. Mereka percaya yang saya boleh berubah walaupun sudah beberapa kali saya ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara.
“Pada tahun 2011, saya dimasukkan ke Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi dan di situ juga saya belajar mengenali agama Islam sebelum cuba belajar mengaji.
“Akhirnya saya memeluk Islam ketika berumur 22 tahun. Keluarga juga tidak menghalang dan mereka hormati keputusan saya,” ujarnya.















