fbpx
RABIOT (kanan) bersedia dilepaskan oleh Juventus selepas rundingan mengenai nilai perpindahannya telah dipersetujui United. – AFP

EPL: Manchester United perlu bijak tangani ibu Adrien Rabiot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Manchester United dilaporkan sudah bersetuju dengan nilai perpindahan sebanyak £15 juta (RM80.71 juta) diletakkan oleh Juventus untuk mendapatkan pemain tengah pasukan itu, Adrien Rabiot.

Rabiot gagal mendapat tempat dalam perancangan Juventus musim depan ketika kontraknya berbaki 12 bulan sahaja lagi dan bersedia untuk me­ninggalkan pasukan itu dan Old Trafford dikatakan bakal menjadi pilihan jika terma peribadi dipersetujui.

Biarpun kurang diberikan peluang ketika di Turin dan satu lagi bekas kelabnya, Paris Saint-Germain, bakat Rabiot sebagai pemain tengah tidak dipandang remeh apabila ba­nyak kelab-kelab besar Eropah berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, masalah yang perlu dihadapi oleh Uni­ted ketika ini adalah untuk meyakinkan ejennya yang juga ibu kepada Rabiot, Veronique bahawa anaknya itu akan mendapat tempat dan diberikan peluang beraksi.

Veronique sebelum ini pernah mencetuskan beberapa kontroversi apabila bergaduh dengan beberapa individu penting serta rakan sepasukan anaknya itu ketika di PSG dan Juventus sehingga menjejaskan karier Rabiot.

Dia juga pernah membuat permintaan untuk menyertai sesi jelajah pramusim bersama PSG ketika Rabiot buat pertama kali menandatangani kontrak profesional.

Rabiot juga sebelum ini pernah diturunkan beraksi untuk pasukan simpanan PSG apabila Veronique membuat permintaan untuk mendapatkan tambahan gaji buat anaknya.

Bagaimanapun, para pemerhati bola sepak mengakui bahawa Rabiot adalah pembelian panik oleh United ketika jendela perpindahan musim panas kali ini semakin menghampiri penghujung. – AGENSI

POPULAR