JAUH merantau mencari rezeki di luar kampung bukanlah alasan untuk melupakan asal usul serta jati diri.
Itulah yang menjadi pegangan anak Kampung Sungai Jelutong, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang kembali mengeratkan silaturahim melalui Program Olek Godang Duo di Kem Pusako, Batu Kikir baru-baru ini.
Memang mengagumkan apabila anak-anak kampung yang sudah berjaya dan jauh merantau dapat kembali disatukan, sekali gus menterjemahkan rasa cinta kepada kampung halaman.
Menurut penasihat programnya, Muhammad Idzam Jaafar, 56, program berkenaan yang sudah masuk tahun kedua penganjurannya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada anak-anak kampung.
“Uniknya program ini diuruskan sendiri oleh anak-anak kampung yang merantau di luar kampung bagi mencari rezeki.
“Walaupun rata-ratanya sudah berjaya dan menjawat pelbagai jawatan profesional mereka sanggup pulang bagi menjayakan program ini.
“Dalam program terbaharu ini, seramai 250 anak kampung berserta keluarga pulang ke sini termasuk dari Sabah dan Sarawak bagi merapatkan ukhuwah,” katanya yang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Cheras dengan pangkat Asisten Komisioner kepada K2.

Ujarnya lagi, pengisian program berkenaan yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim bukanlah sekadar acara sukaneka serta ‘makan-makan’ sahaja bahkan lebih besar apabila turut meraikan dua orang guru.
Menurutnya, guru yang diraikan ialah Cikgu Azizah Sulaiman iaitu guru semasa kebanyakan anak-anak kampung berkenaan bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jelutong.
“Sementara itu, guru kedua pula ialah Mariah Ahmad yang lebih dikenali penduduk sebagai Kaklong Ani. Beliau ialah guru mengaji al-Quran, berzanji dan ada juga penduduk yang belajar nasyid dengan beliau,” kata Muhammad Idzam.
Menurutnya, kedua-dua guru berusia sekitar 70-an itu turut diraikan semasa penganjuran program tersebut pada kali pertama di Masjid Kariah Sungai Jelutong pada tahun 2015 dan terkini tahun ini.
“Namun, pada kali ini ia lebih bermakna apabila kedua-dua guru berkenaan bukan hanya dijemput di rumah masing-masing, bahkan dilayan seperti VIP iaitu diarak dengan bunga manggar serta disarungkan selendang,” kata Muhammad Idzam.
Menurutnya, simbolik selendang berkenaan membawa maksud kedua-dua guru dianggap sebagai ‘ibu’ oleh anak-anak kampung berkenaan.
Selain itu, ujar Muhammad Idzam lagi, terdapat juga pameran bergambar mengenai sejarah kampung termasuk foto Majlis Perasmian Sekolah Melayu
Sungai Jelutong lebih 60 tahun lalu yang kini menjadi gambar kenangan keluarga penduduk untuk dikongsikan dengan generasi akan datang.

MUHAMMAD IDZAM (kiri) menunjukkan gambar penduduk kampung yang dirakamkan sempena Majlis Perasmian Sekolah Melayu Sungai Jelutong lebih 60 tahun lalu.
Jelasnya, program berkenaan sangat penting bagi memastikan anak-anak kampung tidak kira dari berapa generasi sekalipun agar tetap mengingati asal serta sejarah mereka dari kampung.
“Kena tahu asal usul dan salasiah keluarga… cari saudara-mara semula dan rapatkan saf sesama penduduk kampung.
“Rezeki di luar memang sudah ditakdirkan-Nya berhijrah tetapi asal usul jangan sesekali lupa,” tegasnya.
Tambahnya lagi, anak-anak kampung berhijrah rata-ratanya kini memiliki kerjaya seperti guru, peguam, profesor serta tidak ketinggalan ahli perniagaan dan mereka pasti akan menyumbang kembali kepada kampung.
“Jadi, program ini juga adalah platform buat kami kembali mengeratkan silaturahim setelah lama tidak bertemu,” katanya.














