fbpx

34,786 pelancong asing dikenakan tindakan NTL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di kaunter Imigresen di Gate Ketibaan KLIA, Sepang di sini, hari ini.-GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

SEPANG- Seramai 34,786 pelancong asing dikenakan tindakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) di beberapa lapangan terbang antarabangsa sejak Januari lalu ekoran menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk kemasukan ke negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,207 pelancong asing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diarah pulang ke negara masing-masing.

“Antara lima negara yang mencatatkan jumlah NTL tertinggi sejak April lalu ialah Bangladesh (732), Pakistan (497), India (412), China (112) dan Vietnam (103).

“Hasil siasatan kami mendapati, mereka ini sebenarnya tidak datang untuk melancong, sebaliknya mahu bekerja secara tidak sah selain tidak ada tempat tinggal dan wang saku mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA tadi.

Katanya, kesemua pelancong asing itu dilaporkan telah melanggar pas sosial diberikan seterusnya dikenakan perintah NTL dan dihantar pulang ke negara masing-masing sebelum sempat memasuki Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Khairul Dzaimee turut kesal dengan satu video dimuatnaik di aplikasi TikTok yang mendakwa Jabatan Imigresen (JIM) bersifat perkauman terhadap segelintir pelancong asing yang tiba dari negara tertentu.

Katanya, JIM tidak pernah bersifat perkauman terhadap mana-mana pelancong selain sentiasa memberika perkhidmatan terbaik terhadap semua individu yang memasuki Malaysia menerusi laluan sah.

“Merujuk video Tiktok itu, sebenarnya pelancong terbabit yang tiba di KLIA2 tidak terus ke kaunter JIM sebaliknya berlegar dahulu untuk tempoh beberapa jam seperti bersembunyi di tandas serta duduk di tempat awam.

“Keadaan itu menimbulkan keraguan memandangkan JIM telah menerima senarai awal penerbangan dan mengetahui berapa ramai pelancong asing yang akan memasuki negara ini,” ujarnya.

Katanya, susulan itu, pegawai JIM telah mencari pelancong itu dan mereka telah dibawa ke pejabat operasi untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati mereka telah melanggar pas lawatan sosial dan dihantar semula ke negara asal ekoran dikenakan perintah NTL,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI