fbpx

Ajaran sesat, tarekat menyimpang di NS ditutup awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUSAT Pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.

TAMPIN – Ajaran sesat mahupun tarekat yang menyimpang dari ajaran agama Islam di negeri ini ditutup serta dicegah dari awal.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sentiasa menerima laporan dari Pejabat Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sekiranya terdapat aktiviti yang menyalahi akidah berkenaan.

“Pejabat Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan JHEAINS sentiasa memantau bersama pihak berkuasa. Maklumat telah diterima dan memang patut ia ditutup awal.

“Buat masa ini tarekat pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad dikesan di Seremban sahaja dan tidak berlaku di daerah lain,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Penutup Trans Naning NS Challenge 2022 di Tampin Water Park, di sini, tadi.

Pada 4 Ogos lalu, JMNS dilaporkan menutup pusat tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, di Kampung Batu 8 Labu, Seremban.

Mufti Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata penutupan itu dibuat susulan aduan diterima jabatan itu bahawa tarekat itu yang dipimpin Habib Shah Firdaus melakukan perbuatan bercanggah syarak termasuk mendakwa Imam Mahadi muncul di hari Arafah.

Untuk rekod, sebanyak lapan ajaran sesat atau ajaran salah kerana menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah diharamkan di Negeri Sembilan berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri, penghujung tahun 2020.

Antara lapan golongan ajaran sesat yang diharamkan di negeri ini adalah golongan antihadis, Ajaran Tapediri 65 atau Ba Tha Mim 114, Ajaran dan Fahaman Hizbut Tahrir, upacara dan amalan Perbomohan IBrahim Mat Zin , ajaran Zikir Alunan Zat Cinta/Hikmah Al-Fatihah daripada Mohd. Zaman Mohd. Noor dan ajaran Millah Abraham @ IBrahim.-KOSMO! ONLINE

 

-tamat-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI