fbpx

Serpihan roket : MOSTI sahkan tiada radiasi, radioaktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roket Long March 5B milik China.

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan serpihan logam dipercayai merupakan komponen roket China yang ditemui terhempas di Sarawak pada 31 Julai lalu tidak mempunyai elemen radiasi dan radioaktif.

MOSTI dalam satu kenyataan berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menggerakkan pasukan siasatan terdiri daripada Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 1 Ogos lalu.

“Siasatan awal dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan menumpukan kepada dua lokasi yang telah dikenal pasti iaitu di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama di Miri, Sarawak.

“Siasatan awal itu juga bagi memastikan tiada sebarang unsur radiasi berbahaya yang mungkin dikeluarkan oleh objek yang disyaki sebelum siasatan selanjutnya dapat dilaksanakan,” katanya di sini tadi.

Katanya, berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal mendapati objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan.

“Manakala, ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua di Batu Nia, Miri juga menunjukkan hasil sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan radioaktif.

“Kedua-dua objek disyaki adalah selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, MOSTI melalui MYSA dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek yang ditemui itu bagi menentukan sama ada melibatkan serpihan roket Long March 5B atau sebaliknya.

“Hasil siasatan dan analisis itu akan dimaklumkan dan tindakan sewajarnya bakal dipertimbangkan selaras Akta 834 (Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022) dan triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI