fbpx

Wanita 79 tahun setia jaga anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khadijah melayan Hamidah yang terlantar dirumahnya di PPR Sri Stulang, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Biarpun umurnya kini di penghujung usia, namun seorang wanita yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini masih gagah mencurahkan kasih menjaga zuriatnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Khadijah Diran yang meniti liku kehidupan pada usia 79 ketika ini, tetap tabah menjaga anak sulungnya, Hamidah Hitam, 57, yang juga OKU masalah pembe­lajaran. Hamidah turut menghidap angin ahmar, darah tinggi dan kencing manis.

“Ibu mana yang tidak sayang anak, walaupun berat mata memandang saya tetap menjaganya hingga akhir hayat.

“Saya yang mandikan, menyalin pakaian dan beri makan serta ubat bagi memastikan Hamidah sihat dan bersih walaupun dalam keadaan baring sepanjang masa,” katanya Kosmo! ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Suami Khadijah meninggal dunia sejak 10 tahun lalu. Menurut Khadijah, ketika kecil anaknya sama seperti kanak-kanak lain yang membesar ­dengan sempurna, namun semuanya berubah setelah mencecah usia 12 tahun apabila kesihatannya mula merosot sedikit demi sedikit.

Tambah wanita itu, ujian demi ujian menimpa dirinya apabila Hamidah mula sakit teruk pada 2008 selepas menjalani pembedahan usus pecah.

“Sejak itulah kesihatan anak saya semakin hari semakin merosot. Setiap hari saya akan memberi suntikan insulin pada Hamidah kerana tahap kencing manisnya tinggi,” ujarnya.

Cerita Khadijah, setiap kali mahu membawa Hamidah ke hospital bagi rawatan susulan, dia akan mengangkat anaknya seorang diri kerana tiada yang dapat membantu.

Katanya, apa yang merunsingkan adalah kudratnya yang tidak seberapa dengan keadaan Hamidah yang tidak berdaya.

Selain Hamidah, Khadijah mempunyai seorang anak lelaki berumur 55 tahun, namun tidak tinggal bersamanya kerana mempunyai keluarga sendiri.

Sebelum ini, kata wanita itu, dia menjual kuih bagi menampung perbelanjaan seharian, namun tidak dapat meneruskan lagi bisnes berkenaan kerana keadaan badannya yang semakin dimamah usia.

Kini, kehidupan dua beranak itu bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk dirinya dan RM200 untuk anaknya.

“Dengan bantuan dari JKM sebanyak RM500 sebulan itulah digunakan untuk meneruskan kehidupan dengan membeli barangan keperluan dan rawatan anaknya,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang dilalui boleh menghubungi Khadijah menerusi talian 07-3310329.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI