fbpx
NORHAFAIZA menunjukkan laporan perubatannya di Perumahan Batu Hitam di Kuantan semalam.

‘Mata saya hanya nampak bayang-bayang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang wanita berhadapan ujian besar apabila terpaksa hidup dalam kesakitan hampir setiap hari kerana menderita pelbagai sakit kronik termasuk masalah buah pinggang tahap empat, kerosakan saraf termasuk saraf mata, kencing manis dan darah tinggi.

Akibat komplikasi penyakit itu menyebabkan Norhafaiza Taib, 48, hampir buta dengan hanya nampak bayang selain tidak dapat menggenggam tangan dan juga sering mengalami bengkak air pada bahagian kaki.

Lebih menyedihkan apabila dia yang tinggal menyewa sebuah rumah di Perumahan Batu Hitam di sini ada masanya mengalami tekanan dan kemurungan akibat penyakit yang bertimpa-timpa dan masalah kewangan dihadapi.

Norhafaiza berkata, keadaan kesihatannya semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat serta kerosakan saraf mata yang serius, selain me­ngalami masalah saraf yang menyebabkan kesakitan pada sendi dan seluruh badan.

Katanya, masalah kesihatan itu turut menjejaskan kualiti hidup apabila dia mengalami gangguan tidur kronik hampir dua tahun sehingga terpaksa bergantung kepada ubat tidur.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, walaupun telah diminta oleh doktor untuk membuat rawatan dialisis, namun dia tidak dapat melakukan rawatan ber­kenaan memandangkan kekangan kewangan.

“Kaki saya memang sering bengkak kerana masalah buah pinggang, kalau minum dan makan makanan berkuah ia akan membengkak teruk dan kalau kurang minum pula saya akan hadapi masalah sembelit.

“Tangan saya pun tidak boleh genggam masa ini dan pandangan mata saya semakin gelap, doktor kata kerosakan mata hampir 90 peratus. Jika melakukan pembedahan sekali pun, tiada jaminan hasilnya dan peluang hanya 50-50,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pada masa ini dia hanya mengharapkan pendapatan suaminya sebagai nelayan yang tidak menentu, selain bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 014 509 0842 atau salurkan ke akaun RHB atas nama Norhafaiza Taib (15605000041459).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN