SEBELUM bergelar pelakon, si cantik itu memulakan langkah pertama dalam dunia seni sebagai model iklan sekitar tahun 2010 ketika berusia 10 tahun.
Dia mula disunting menjadi bintang sinetron pada usia 13 tahun dan naskhah pertama lakonannya berjudul Hidayah.
Sejak itu, pemilik nama lengkap Amanda Gabriella Manopo Lugue atau Amanda Manopo tidak lagi menoleh ke belakang apabila berjaya menawan hati peminat menerusi beberapa sinetron dan filem popular, sekali gus melonjakkan kariernya sebaris dengan nama selebriti ‘papan atas’ terkenal Indonesia yang lain.
Selain digilai peminat kerana bakat lakonan, aktres berdarah kacukan Indonesia, Filipina dan Sepanyol itu juga disayangi dek kemuliaan dan kemurahan hatinya.
Rezeki yang diraih tidak membuatkan Amanda cepat lupa diri. Ketika negara dan masyarakat dihimpit banyak masalah termasuk pandemik dan ekonomi, bintang berusia 23 tahun itu menghulurkan sumbangan pembinaan beberapa masjid biarpun diketahui umum dirinya penganut Kristian.
Alasan Amanda, dia mahu berkongsi rezeki yang dimiliki dengan masyarakat, terutama peminat tanpa batasan agama yang banyak menyokong perjalanan kariernya.

– Winstone Gomez (@winstonegomez)
Bina masjid
“Rancangan saya mahu membina masjid kerana kebanyakan kru (belakang tabir) adalah beragama Islam. Jadi, saya bercadang mahu membina beberapa masjid di daerah terpilih terutama di luar kota.
“Lagi pun, saya mahu berkongsi rezeki. Umpamanya membayar nazar, hasilnya akan diberikan kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Niat murni pelakon sinetron Ikatan Cinta itu lantas mendapat perhatian, sementelah Amanda bukan beragama Islam.
Dari sisi lain, kehidupan peribadi bekas kekasih kepada pelakon Billy Syahputra itu tidaklah seindah seperti yang dibayangkan peminat.
Populariti dan kecantikan wajah yang dimiliki Amanda umpama menjadi ‘tirai besi’ yang menghalang mana-mana lelaki untuk mendekati dirinya.
Malah, Amanda sendiri tertanya-tanya mengapa dia selalu tidak bernasib baik dalam cinta. Di sebalik tabir kehidupan indahnya, pelakon itu mengakui seperti ditakuti golongan lelaki untuk didekati.

Single
Hubungan cintanya bersama Billy cuma berlangsung selama lapan bulan selepas kedua-dua mereka mengambil kata sepakat untuk berpisah pada Julai tahun lalu.
Billy dalam satu kenyataannya menyebut, antara penyebab yang membuatkan hubungannya bersama Amanda retak adalah ‘tidak cocok’ (tiada persefahaman).
Bahkah, ada juga dakwaan menyebut mungkin Amanda terlalu mendesak untuk segera berkahwin seperti impiannya mahu menjadi pengantin seawal usia 18 tahun.
“Sasaran untuk berkahwin muda nampaknya tidak kesampaian. Jadi sekarang, saya hanya menjalani kehidupan seperti biasa. Mana tahu esok lusa bertemu jodoh?
“Buat masa sekarang saya tidak mempunyai kekasih dan masih ‘jomblo’ (solo). Kalau ditanya berapa ramai yang mahu mendekati saya (lelaki), jawapannya tidak ada. Mungkin mereka takut,” katanya.

Lelaki idaman
Menjelaskan maksud ‘ketakutan lelaki’ daripada mendekatinya, Amanda berpendapat, mungkin faktor populariti dan pendapatan lumayan yang diraih membuatkan para lelaki berasa tidak layak menjadi pendampingnya.
“Mungkin kerana sekarang status saya sebagai pelakon sinetron terkenal dengan pendapatan boleh dikira lumayan.
“Jadi mereka takut untuk mendekati saya kerana berpendapat mungkin saya seorang yang cerewet dan memilih status. Tapi sebenarnya saya bukan seperti apa yang mereka sangkakan,” ujarnya.
Tanpa berselindung, Amanda yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa nama selebriti terkenal seperti Arya Saloka, Mischa Chandrawinata dan Jefri Nichol hanya mahukan cinta daripada seorang lelaki sederhana dan beriman.
“Saya idamkan lelaki yang boleh menjaga dan membimbing saya menjadi wanita yang lebih baik. Soal paras rupa atau statusnya tidak menjadi keutamaan.
“Kalau ada yang berani dan sepadan, sila munculkan diri. Saya tidak kisah sama ada lelaki itu dalam kalangan orang industri (artis) atau ahli perniagaan. Apa yang penting keserasian,” ungkap Amanda.















