MELIHAT anak sulungnya yang berusia lima tahun dalam keadaan menggigil pada malam itu ternyata meresahkan Nur Amalina Mat Denin, 30.
“Suhu anak saya pada ketika itu adalah 40 darjah Celsius.
“Pada mulanya saya ingatkan dia cuma demam panas biasa,” kongsinya kepada K2.
Namun, semakin aneh apabila keesokan harinya, Nur Amalina sendiri mengalami situasi sama dan turut merasa kejang pada bahagian pinggang dan kaki. Ketika itu juga, anak bongsunya pula mengalami peningkatan suhu badan kepada 38 darjah Celsius.
Nur Amalina kemudian mengambil keputusan untuk pergi ke klinik berdekatan bersama dua anaknya bagi mendapatkan pemeriksaan.
“Setibanya di klinik, kami bertiga diarahkan melakukan ujian influenza melalui kit ujian. Setelah ujian dilakukan doktor mengesahkan bahawa saya dan anak-anak positif Influenza A,” jelasnya.
Cerita Nur Amalina, doktor kemudian mengarahkan dia dan anak-anak menjalani kuarantin kendiri selama lima hari dan hanya mengambil ubat antiviral.
Dia berhasrat untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital, tetapi kebanyakan hospital sudah kekurangan katil kerana penuh dengan pesakit yang berdepan penyakit sama.

“Hari keempat ketika kuarantin, secara tiba-tiba saya mengalami sesak nafas dan bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan,” katanya.
Ibu dua cahaya mata itu memberitahu, kini dia dan anak-anaknya telah pulih daripada jangkitan influenza. Pun begitu, sehingga kini dia masih merasai kesan sampingan jangkitan tersebut.
“Saya masih batuk dan rasa sengal pada bahagian badan. Begitu juga anak-anak, mereka masih batuk tetapi tidak berkahak.
“Sebelum ini saya pernah dijangkiti Covid-19, tetapi bagi saya, jangkitan influenza ini kesannya lebih teruk berbanding Covid-19. Ketika dijangkiti Covid-19, saya hanya demam dalam tempoh dua hari sedangkan apabila dijangkiti influenza, kesan demam lebih lama dan badan berasa tidak selesa dengan batuk yang berterusan,” akuinya.
Pada masa ini, dunia dan Malaysia sedang diancam dengan satu lagi ‘gelombang’ penyakit berjangkit iaitu influenza selepas pandemik Covid-19 menunjukkan penyusutan.
Sejak kebelakangan ini jumlah yang dijangkiti influenza dilihat semakin bertambah. Malah, Kosmo! baru-baru ini melaporkan, peningkatan kes influenza yang ketara di beberapa negeri sehingga mengakibatkan katil di wad-wad perubatan dan pediatrik di kebanyakan hospital melebihi kapasiti ekoran sesak dengan pesakit.

Pakar Mikrobiologi Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, influenza ialah sejenis jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza.
“Penyakit influenza merebak melalui cecair atau titisan daripada tekak serta mulut yang terlepas ke udara. Ini boleh berlaku apabila seseorang pesakit batuk, bersin atau bercakap.
“Ia juga boleh merebak melalui tangan yang dicemari virus influenza. Virus merebak dengan cepat di tempat yang sesak seperti asrama dan rumah penjagaan warga emas,” katanya.
Jelas beliau lagi, biarpun gejala influenza hampir sama dengan gejala Covid-19 iaitu demam, sakit badan, kerap bersin, hidung berair, sakit tekak, batuk dan sakit kepala, namun ada perbezaan antara kedua penyakit ini.
Sebagai contoh, tempoh inkubasi atau gejala muncul selepas terdedah kepada virus untuk Covid-19 adalah lima hingga 14 hari, manakala bagi influenza hanya satu hingga empat hari.
Menerangkan mengenai virus influenza, beliau berkata, terdapat dua jenis virus influenza yang sering menjangkiti manusia iaitu virus Influenza A dan Influenza B.
“Virus Influenza A terbahagi kepada banyak jenis berdasarkan struktur protein yang terdapat pada virus contohnya influenza A H1N1 dan H3N2.
“Influenza A adalah satu-satunya yang berupaya untuk menyebabkan pandemik atau wabak di seluruh dunia seperti yang berlaku pada tahun 2009 iaitu H1N1,” katanya.
Tambahnya, Influenza B pula dibahagikan mengikut susur galur asal virus contohnya Yamagata dan Victoria.

Ditanya mengapa Influenza A berupaya menyebabkan pandemik, Dr. Nurul Azmawati menjelaskan ia kerana Influenza A lebih mudah bermutasi berbanding Influenza B.
“Virus influenza kerap bermutasi. Bagaimanapun, Influenza A lebih mudah bermutasi berbanding Influenza B. Influenza B juga kurang dijumpai di dalam haiwan berbanding influenza A. Dua faktor ini iaitu kerap mutasi dan keberadaan virus di dalam haiwan adalah faktor utama yang menyumbang kepada wujudnya pandemik.
“Pandemik berlaku apabila virus strain baharu muncul contohnya H1N1 yang melibatkan kombinasi genetik virus Influenza A khinzir dan manusia.
“Kebanyakan jangkitan influenza adalah disebabkan Influenza B dan Influenza B secara amnya jangkitan yang kurang serius,” terangnya.
Menurutnya, di negara empat musim, wabak influenza bermusim dan terjadi pada musim sejuk setiap tahun. Ini bermakna, wabak berlaku pada akhir tahun di hemisfera utara, manakala hemisfera selatan dilanda wabak pada pertengahan tahun.
Beliau berkata, di seluruh dunia, influenza menyebabkan kira-kira tiga hingga lima juta jangkitan serius dan lebih setengah juta kematian akibat gangguan sistem pernafasan.
Angka kematian yang tinggi dicatatkan dalam kalangan bayi dan warga emas.
Dalam konteks di Malaysia, menurut beliau, influenza sebenarnya berlaku sepanjang tahun.
Cuma, secara peribadi Dr. Nurul Azmawati berpendapat, peningkatan kes influenza yang berlaku ketika ini berkait dengan keadaan semasa.
“Pada pendapat saya, salah satu sebab peningkatan kes yang dilaporkan adalah kerana peningkatan kesedaran orang ramai untuk ke klinik dan membuat ujian kerana bimbangkan Covid-19.
“Setakat ini, sama ada Covid-19 berperanan dalam peningkatan influenza masih dalam kajian tetapi kita sudah sedia maklum bahawa jangkitan berganda Covid-19 dan influenza menyebabkan jangkitan yang serius,” katanya.
Ditanya adakah trend peningkatan kes ketika ini boleh membawa pandemik, beliau mengungkapkan:
“Kes-kes influenza yang berlaku sekarang dikenali sebagai ‘seasonalflu’ yang boleh dicegah dengan pengambilan vaksin influenza setiap tahun.
“Disebabkan influenza kerap bermutasi, akan ada satu masa pandemik berlaku. Disebabkan fakta ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia memang mempunyai pelan kesiapsiagaan dalam mendepani pandemik influenza. Menurut sejarah, tiga pandemik influenza berlaku pada abad ke-20 (1918, 1957 dan 1968), manakala, pada abad ke 21, pandemik telah berlaku pada tahun 2009.”
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani pula berkata, dalam kebanyakan kes, jangkitan influenza boleh pulih secara semula jadi.
Namun, ada golongan yang berisiko mendapat komplikasi serius terutama jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun, warga tua berumur lebih 65 tahun, perempuan mengandung, individu kurang daya tahan imuniti, pesakit kronik dan obes.
“Antara komplikasi jangkitan influenza ialah jangkitan paru-paru, serangan jantung, jangkitan telinga dan juga sinus. Jangkitan paru-paru adalah serius dan boleh membawa kematian,” katanya.
Tambahnya, bagi yang berisiko rendah, jika gejala adalah ringan, memadai berehat di rumah untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
Rawatan diberikan adalah untuk mengurangkan gejala contohnya ubat demam dan ubat batuk. Berkumur cecair antiseptik juga boleh meringankan gejala.
“Selain pengambilan vaksin, langkah-langkah pencegahan lain termasuk amalan kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk dan bersin serta memakai pelitup muka berkesan bagi menghalang jangkitan influenza,” terangnya.














