fbpx

Waspada influenza boleh melarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

TREND jangkitan influenza yang menular dalam masyarakat di negara ini membimbangkan.

Tidak dinafikan, simptomnya yang mirip Covid-19 menyebabkan ramai yang menyangka mereka diserang virus maut itu.

Penulis teringat kisah seorang rakan yang mengalami situasi itu, Dia mengalami demam panas, hilang deria rasa, batuk, sakit badan dan otot bagaimanapun disahkan bebas Covid-19.

Bimbang menghidap penyakit kronik lain, dia menjalani pemeriksaan di klinik sebelum disahkan influenza.

Menurut Pakar Kesihatan Pekerjaan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Nurul ‘Afiyah Mohd. Isa, influenza dan Covid-19 merupakan jangkitan virus yang senang dan boleh berjangkit melalui cara sama iaitu kontak cecair badan seperti kahak, hingus dan air liur.

Berbeza Covid-19 yang mana hilang deria rasa merupakan gejala utama, pesakit influenza tidak mengalami simptom itu.

Influenza juga tidak menye­babkan pesakit cirit-birit atau sakit perut kecuali kanak-kanak.
“Influenza merupakan jangkitan bermusim dan begitu ketara pada musim sejuk, tetapi berbeza di Malaysia, jangkitan berlaku sepanjang tahun.

“Bagi kes influenza yang semakin meningkat ketika ini, ia berkemungkinan disebabkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Kita boleh lihat ramai yang mula memandang ringan aspek penjagaan kebersihan di tempat awam seperti tidak membersihkan tangan secara kerap dan jarang memakai topeng muka di tempat sesak,” katanya.

Menurut beliau, biarpun tiada arahan kuarantin wajib bagi mereka yang dijangkiti, namun isolasi merupakan langkah terbaik meredakan jangkitan.

Lebih-lebih lagi, jika individu yang dijangkiti berisiko untuk menyebarkannya seperti kanak-kanak ke sekolah, pekerja kesihatan dan warga institusi.

“Jangkitan influenza boleh me­larat jika menjangkiti individu berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, orang tua, wanita mengan­dung, individu yang ada masalah kesihatan termasuk imuniti rendah.

“Antara komplikasinya ialah radang paru-paru, radang otot jantung, radang otak dan bahkan ia boleh membawa maut.

“Justeru bagi mencegah influenza daripada mudah dijangkiti, individu disarankan untuk mengambil suntikan influenza mengikut jadual tahunan, menjaga kebersihan diri dan patuh dalam pemakaian topeng muka terutama ketika berada di tempat sesak,” ujarnya.

Mempunyai kesan hampir me­nyamai Covid-19, influenza tidak wajar dipandang ringan.

Tambahan pula setiap hari ada sahaja individu dimasukkan ke hospital akibat influenza. Di media sosial pula, ramai yang mendakwa tidak berjaya mendapatkan rawatan di sana kerana tiada kekosongan katil.

Bahkan Kementerian Kesihatan juga bersiap sedia untuk menambah bilangan katil sekiranya berlaku peningkatan jumlah kemasukan pesakit ke hospital.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pertambahan jumlah katil pernah berlaku sebelum ini di mana membabitkan penggunaan katil bagi pesakit Covid-19.

“Pernah buat dahulu (tambah katil) untuk (pesakit) Covid-19, sekiranya perlu kita akan buat juga untuk kes-kes penyakit seperti influenza (ILI).

“Tetapi peringatan saya untuk Covid-19 dan influenza, pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan sesak mungkin diteruskan kerana banyak membantu mencegah penyakit bukan sekadar Covid-19 dan influenza,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI