fbpx

TNB tanam lebih 70,000 pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (berpakaian serba putih), Wan Rosdy (di kanannya) dan Baderul Sham (di kirinya) bersama warga kerja TNB, Majlis Bandaraya Kuantan dan sukarelawan selepas menanam pokok pada program tersebut, Isnin lepas.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanam lebih 70,000 pokok di pesisiran pantai, sungai, hutan dan taman awam sejak tahun 2009.

Penanaman itu telah mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata, program pemuliharaan alam sekitar, khususnya penanaman pokok-pokok bagi menghijaukan bumi, bukanlah asing kepada TNB yang sejak dari dahulu lagi berbuat demikian, khususnya di kawasan-kawasan sekitar stesen janakuasa.

“Ia menjadi semakin fokus apabila TNB menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai antara pengisian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) termasuk penggantian pokok di kawasan talian penghantaran, penanaman di taman-taman awam, di pesisiran pantai, kawasan pembiakan kelip-kelip dan di Koridor Laluan Hijau.

“Benih bakau seperti bakau minyak atau nama saintifiknya Rhizophora Apiculata dan Bakau Kurap (Rhizophora Mucronata) ditanam di pantai-pantai Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi mencegah hakisan pantai dalam jangka masa panjang,” katanya pada Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan Majlis Bandaraya Kuantan, Isnin lalu.

Dalam program tersebut, TNB menaja 3,300 anak-anak pokok untuk ditanam di lapan lokasi di kawasan pesisir pantai dan Sungai Kuantan.

Menurutnya, Pelbagai spesies pokok pula ditanam bagi meneduhkan persekitaran taman-taman awam di semua negeri di Semenanjung melalui Program “Tree For Tree” di samping hampir 3,000 pokok gantian di kawasan talian penghantaran serta 1,800 pohon berembang di kawasan pembiakan kelip-kelip di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Penglibatan TNB sekian lama dalam pemuliharan alam sekitar ini secocok aspirasi Hala Tuju Kelestarian (TNB Sustainability Pathway) yang diumumkannya tahun lalu dengan mencartakan perjalanan ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

“Ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seluruh negara sebanyak 45% menjelang tahun 2030 dan seterusnya mencapai negara neutral karbon seawal tahun 2050.

Lebih 32,000 pelbagai jenis bakau ditanam di pesisiran pantai Semenanjung, lebih 16,000 pokok hutan dan nadir di Koridor Laluan Hijau iaitu Laluan Hidupan Liar (Wildlife Corridor Replanting Program) dan kira-kira 12,000 pokok teduhan di taman-taman awam.

Dianggarkan 70,000 pokok ini mampu menyerap sehingga 1,470 tan karbon dioksida setahun, sekali gus mengurangkan kadar pelepasan karbon dalam negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI