fbpx

Tunai janji, Yana Samsudin selamat bawa ibu bapa naik haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANA SAMSUDIN sangat bersyukur dapat menunaikan haji bersama kedua ibu bapa dan suaminya tahun ini.

PETALING JAYA – Selepas 10 tahun berjanji, tiada perkara paling membahagiakan pelakon Yana Samsudin apabila berjaya menyempurnakan niat membawa kedua orang tuanya mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

Lebih manis, Yana sendiri berpeluang mengerjakan haji dan umrah sekali gus atau disebut sebagai Haji Qiran bersama orang tuanya dengan ditemani suami, Fadzil Zahari.

Ujar Yana atau nama lengkapnya, Norliana Samsudin, 38, nikmat yang diperoleh adalah hasil berbakti kepada kedua ibu bapa, di samping usaha dan kesanggupan berkorban membelanjakan wang ringgit ke jalan Allah.

“Masya-Allah, alhamdulillah, Allahuakbar. Saya tak pernah jejak kaki ke sini (Tanah Suci), tapi Allah bagi peluang menunaikan haji dan umrah sekali gus.

“Benar janji Allah, bila kita berbakti kepada kedua ibu bapa, berusaha dan berkorban membelanjakan segala harta ke jalan-Nya, Allah beri segalanya. Malah lebih. Subhanallah, aku telah menyaksikan semuanya.

“Tiada yang lebih penting dalam hidupku. Hanya Allah, Nabi Muhammad, ibu bapa, suami dan keluargaku,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.

Kata pelakon yang terkenal dengan filem Adnan Sempit itu lagi, walaupun bergelar selebriti, tetapi dia tetap berdepan halangan dan cabaran tersendiri sebelum benar-benar berjaya melunaskan impian tersebut.

Malah dia juga bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat menyokong dengan apa sahaja yang dilakukannya selama ini.

“Orang cakap artis tak mampu ke? Hanya Allah lebih mengetahui. Hanya saya yang melaluinya.

“Syukur, beruntung juga saya mempunyai suami yang sangat menyokong. Itu juga hadiah pinjaman berharga dari Allah. Alhamdulillah,” tulisnya lagi.

Yana, Fadzil dan kedua ibu bapanya mula menunaikan ibadah haji pada 9 Julai lalu.

Untuk info, Yana berkahwin dengan Fadzil pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Aisy Mateen, 6, dan Aura Aisy Sofea, setahun lapan bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI