fbpx

[VIDEO] Tukang cuci kapal terpinga-pinga ketika didakwa bunuh isteri, bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Mohamad dibawa ke mahkamah bagi berdepan tuduhan membunuh isteri dan bayi lelaki di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang pencuci kapal kelihatan sugul ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini bagi dua pertuduhan membunuh isteri dan anaknya di Kampung Bakar Batu, 4 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd. Adam, 24, tampak terpinga-pinga ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Mohamad Amir Nazri kemudiannya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Kelihatan adik lelaki kepada tertuduh ditenangkan oleh ahli keluarganya di dalam kamar bicara selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Amir didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, di sebuah rumah di Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu, di sini.

Tertuduh juga didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef, dua bulan lapan hari, di lokasi sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, pukul 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd. Zulhilmi kemudian memerintahkan tertuduh dibawa ke Hospital Permai Johor Bahru, di sini bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan mentalnya hari ini.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat, DNA (asid deoksiribonukleik) dan keputusan psikiatri.

4 Julai lalu, lelaki berkenaan diberkas polis selepas bertindak mengelar isteri dan bayinya hingga mati di Kampung Bakar Batu.

Tertuduh yang dilaporkan melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas membunuh isteri dan anaknya ditahan di kawasan berhampiran kampung berkenaan.

Suspek berjaya ditahan polis, selepas gambar dan videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI