fbpx

Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan empat buah kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba Taiping mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Izzudin Shah, Taiping petang semalam.- FOTO: IHSAN BOMBA PERAK

TAIPING – Seorang lelaki maut setelah kereta jenis Kia Rio dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan lain di Jalan Izzudin Shah Aulong di sini kira -kira pukul 5.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kenderaan yang dipandu mangsa, Lee Beng Kok, 57, secara tiba-tiba keluar dari simpang tiga Jalan Haiwan di sini.

Katanya, kenderaan mangsa telah melanggar Toyota Vios berwarna hitam yang dipandu oleh seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang membawa penumpang berusia 18 tahun.

“Akibat perlanggaran itu, kereta Kia Rio yang dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar dua buah kenderaan jenis BMW dipandu seorang ejen kewangan berusia 35 tahun dan sebuah Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun bersama penumpangnya wanita berusia 55 tahun.

“Impak dari kemalangan itu telah menyebabkan mangsa tersepit ditempat pemandu dan pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, jurucakap Bomba Perak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping telah menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera iaitu pemandu dan penumpang Nissan Almera telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan, manakala mayat pemandu Kia Rio turut dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Dua pelajar perempuan dan ejen kewangan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI