fbpx
Awal Ashaari.

Kes saman Naz Empire, Awal diteruskan ke perbicaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah sebuah syarikat perkhidmatan mengubah suai dan dekorasi rumah terhadap personaliti televisyen Awal Ashaari akan diselesaikan melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Sareekha Roslyna Mohd. Rosly yang mewakili Naz Empire Sdn. Bhd. ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar A.Shaarmini dalam talian (e-Review) hari ini.

Menurut peguam itu, kes saman itu akan dibicarakan selepas kedua-dua pihak gagal menemui jalan penyelesaian kerana tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

“Kedua-dua pihak telah memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan termasuk pernyataan saksi. Pihak plaintif akan mengemukakan dua saksi manakala Awal Ashaari akan memberikan keterangan bagi pihaknya selaku defendan,” kata peguam itu.

Sementara itu ditanya mengenai tarikh perbicaraan, Sareekha Roslyna berkata kemungkinan tarikh tersebut akan ditetapkan pada pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache yang akan dijalankan secara Zoom pada 4 Ogos ini.

Peguam Hamizah Sobree mewakili Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari.

Sebelum ini, pada prosiding terdahulu mahkamah mencadangkan supaya kes saman itu dirujuk ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di sini, sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, kes akan diteruskan dengan perbicaraan.

Dalam masa sama, mahkamah membatalkan saman terhadap dua lagi defendan dalam kes saman itu iaitu Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli selepas plaintif (Naz Empire) memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap mereka kerana penyelesaian telah dibuat di luar mahkamah.

Pada 13 November 2020,  Naz Empire telah memfailkan saman terhadap Awal dan dua rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti tersebut.

Menurut Naz Empire dalam pernyataan tuntutannya, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise dan didakwa sering berkongsi siaran-siaran gambar atau video berkaitan ubah suai atau dekorasi rumah dalam laman media sosial Instagram mereka @houseofsix.my.

Syarikat itu mendakwa kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan selepas defendan pertama (Awal) membayar deposit sebanyak RM100,000 menerusi dua transaksi pada Ogos 2019 dan sekitar 3 Sept 2019, dan plaintif mendakwa defendan menyatakan bahawa beliau mahukan ‘sky roof’ dan tambahan tingkap di dapur rumah baharunya itu.

Ini menyebabkan plaintif memberi sebut harga baharu kepada defendan pertama untuk kos pengubahsuaian sebanyak RM7,500.

Dakwa plaintif, Awal secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau kualiti kerja plaintif dan memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian serta meminta memulangkan semula wang deposit sebanyak RM100,000.

Plaintif mendakwa, Awal telah memulakan siri fitnah secara berterusan terhadap plaintif dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya serta telah memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’ bagi tujuan sama.

Justeru Naz Empire telah mengemukakan saman berjumlah RM3 juta terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial. – KOSMO! ONLINE

POPULAR