fbpx
Bomba sedang berusaha mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam Honda City. /FOTO IHSAN BOMBA

Empat sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan dengan treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Empat individu termasuk seorang bayi maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah treler dan sebuah kereta berhampiran Simpang Roban, Jalan Saratok-Sarikei, Sarawak, awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita 28 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki empat tahun serta seorang bayi lelaki berumur setahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.53 pagi.

Katanya, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati satu kemalangan berlaku melibatkan dua buah kenderaan iaitu treler dan kereta Honda City.

“Keempat-empat penumpang yang menaiki kereta Honda City tersepit dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan jenazah mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pihak bomba turut membuat pembersihan jalan daripada serpihan kaca dan tumpahan minyak kesan daripada kemalangan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.31 pagi. – KOSMO! ONLINE

 

POPULAR