fbpx
SEBAHAGIAN bakal jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas gagal berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji. – GAMBAR IHSAN PEMBACA

‘Kami jual tanah, keluarkan KWSP untuk tunai haji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Hajat kira-kira 380 bakal jemaah untuk menunaikan ibadah haji buat kali pertama tidak kesampaian apabila mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kelmarin.

Mereka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Kelantan itu didakwa ingin menggunakan visa furada untuk berlepas ke Tanah Suci yang di­uruskan oleh sebuah agensi pelancongan dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Bagaimanapun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan apabila mereka gagal berlepas kira-kira pukul 5.35 petang kelmarin menggunakan pesawat Saudia Airlines.

Difahamkan, ada jemaah yang sudah berkampung di sekitar KLIA sejak 27 Jun lalu selepas pihak agensi memaklumkan mereka dijangka berlepas pada tarikh berkenaan.

Menerusi tinjauan Kosmo! di KLIA semalam, rata-rata bakal jemaah yang terlibat mengakui mereka terpaksa bergadai tanah dan menjual kebun selain menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tabungan peribadi untuk memenuhi impian menunaikan haji.

Seorang jemaah yang merupakan peniaga pasar malam dikenali sebagai Ahmad, 56, berkata, duit simpanannya selama 30 tahun habis digunakan semata-mata mahu menunaikan ibadah haji bersama isteri dan anak lelaki.

“Sejujurnya, kami sekeluarga rasa tertipu. Saya bayar seba­nyak RM126,000 untuk tiga orang menggunakan visa furada di mana setiap orang harganya bernilai RM42,000.

“Sebelum ini, mereka janji kami akan berlepas pada 5 Julai dan kami datang ke KLIA dari Melaka pada tarikh itu. Apabila sampai di Pusat Konvensyen Movenpick, penerbangan ditunda ke 6 Julai,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini semalam.

SEBAHAGIAN beg dan barangan peribadi milik bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA, Sepang kelmarin.

Jelas Ahmad, pihak agensi pelancongan itu kemudiannya memaklumkan mereka gagal berlepas pada 6 Julai kerana masih ada dokumen yang belum lengkap dan dijanjikan berlepas pada 7 Julai 2022.

“Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji, sehingga malam ini (kelmarin), semua jemaah masih terkandas selain perkembangan terkini tentang visa furada juga tidak dimaklumkan pihak agensi.

“Saya kesian melihat jemaah yang lain kerana bukan semua datang daripada keluarga kaya, ramai juga yang susah dan mereka terpaksa gunakan pelbagai sumber duit semata-mata mahu menunaikan haji,” katanya.

Berita berkaitan: Agensi pelancongan tipu jemaah haji ada lesen MOTAC

Berita berkaitan: Lebih 380 jemaah haji terkandas di KLIA

Seorang lagi jemaah lelaki dikenali Subri, 50-an, mengakui agak terkilan dengan sikap ditampilkan agensi pelancongan itu selepas ramai daripada mereka terpaksa bergadai harta untuk ke Tanah Suci.

“Kami mahu cari redha Allah kerana duit itu rezekiNya. Kini, semua duit KWSP sudah habis digunakan. Ada juga pesara kerajaan yang gunakan duit gratuiti, ada juga gadaikan tanah kebun untuk pergi haji.

“Apabila dipermainkan begini, ia menyebabkan kami terkilan kerana yang berjanji itu orang Islam sendiri dan seseorang yang bergelar haji,” luahnya.

Meskipun dilihat seakan tipis untuk terbang ke Tanah Suci, lelaki itu memberitahu, pihak agensi pelancongan terus menabur janji dengan menjelaskan pihaknya akan menyewa sebuah kapal terbang untuk membawa jemaah ke sana.

“Mereka bagi harapan tinggi dengan untuk menyewa sebuah kapal terbang selain bercadang memberi penginapan mewah di Hotel Pullman kerana kesabaran para jemaah. Namun, ia hanya janji manis sahaja,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN