fbpx

Joe Biden optimis di sebalik tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITUASI di lokasi kejadian tembakan rambang di Highland Park, Illinois, kelmarin. – AFP

WASHINGTON – Presiden Joe Biden menyuarakan rasa terkejut beliau berhubung insiden tembakan rambang di Highland Park, pinggir Chicago, namun berikrar akan terus memerangi ‘epidemik keganasan senjata api’ di  Amerika Syarikat (AS).

Lebih menyayat hati, keganasan itu berlaku ketika orang ramai menghadiri perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan AS kelmarin.

“Saya tidak akan berputus asa,” tegasnya.

Pada minggu lalu, Biden menandatangani rang undang-undang persekutuan pertama berkenaan  keselamatan senjata api dalam tempoh beberapa dekad, beberapa hari selepas Mahkamah Agung memutuskan bahawa rakyat AS mempunyak hak di sisi perlembagaan untuk membawa pistol di tempat awam.

Perbahasan mengenai hak senjata api  telah memecahbelahkan masyarakat  AS. Kontroversi itu tercetus semula susulan dua tragedi pembunuhan beramai-ramai  Mei lalu di mana 10 pengunjung pasar raya kulit hitam ditembak mati di New York dan 21 orang, kebanyakan mereka kanak-kanak, dibunuh di sebuah sekolah rendah di Texas.

Menurut Arkib Keganasan Senjata Api, sepanjang tahun ini sahaja, terdapat 309 insiden tembakan rambang di AS.

Terdahulu, polis menangkap seorang suspek susulan insiden di Highland Park iaitu sebuah kawasan mewah di pinggir Chicago. 

Polis berkata, Robert Crimo, 22, merupakan  ‘individu yang dicari’ dan menjadi sasaran pemburuan besar-besaran.

“Selepas adegan mengejar menggunakan kereta, Crimo ditahan tanpa sebarang insiden,” kata ketua polis Highland Park, Lou Jogmen kepada pemberita.

Polis mempercayai dia melepaskan tembakan rambang dari atas sebuah bumbung dengan menggunakan raifal berkuasa tinggi yang menyaksikan lokasi perarakan tersebut bermandikan darah.  

Anggota pasukan kecemasan berkata,  24 orang termasuk kanak-kanak dirawat kerana  kecederaan akibat terkena tembakan dengan sesetengah mereka parah.

Insiden tembakan itu merupakan sebahagian daripada keganasan senjata api yang menghantui AS. Negara polis dunia itu merekodkan sekitar 40,000 kematian yang berpunca daripada senjata api pada setiap tahun.

Polis mengkategorikan tragedi berdarah di Higland Park itu sebagai ‘tindakan keganasan rambang’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI